EKONOMI

MKS Buka MKS Supercenter Di Pulau Pinang Dengan Pelaburan Bernilai RM400 Juta

20/06/2026 11:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Syarikat teknologi semikonduktor global, MKS Inc membuka MKS Supercenter Factory di Pulau Pinang dengan pelaburan strategik melebihi RM400 juta bagi menyokong permintaan global yang semakin meningkat terhadap peralatan fabrikasi wafer.

Kemudahan yang terletak di tapak seluas 0.40 hektar dengan keluasan binaan kira-kira 350,000 kaki persegi itu dibangunkan secara berfasa dengan fasa pertama pembangunannya kini telah siap.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata pelaburan MKS mencerminkan peralihan yang semakin ketara ke arah aktiviti pembuatan bernilai tinggi dan berteraskan teknologi di Malaysia.

Katanya industri mekanikal dan elektrik merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM3.5 bilion pada suku pertama 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara tonggak utama sektor pembuatan negara.

“Selain skala pelaburannya, projek ini akan memperkukuh keupayaan rantaian bekalan domestik, mengeratkan kerjasama industri dan institusi akademik dalam pembangunan bakat serta mewujudkan lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam aktiviti bernilai tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaburan berkenaan juga selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menerusi penciptaan pekerjaan berkualiti, peningkatan taraf industri dan manfaat ekonomi yang lebih luas.

Sementara itu, sebaik semua fasa pembangunan siap kelak, MKS Supercenter Factory dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan bernilai tinggi dan berteraskan teknologi.

Majlis perasmian kemudahan itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri wakil MIDA, InvestPenang serta agensi kerajaan berkaitan.

Pembukaan kemudahan itu mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting sebagai hab pembuatan termaju dan inovasi semikonduktor, di samping mengukuhkan kerjasama antara MKS, MIDA dan InvestPenang.

Pelaburan itu mengukuhkan peranan strategik Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global, di samping menyokong daya tahan rantaian bekalan, keupayaan pembuatan termaju dan pertumbuhan industri jangka panjang.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571010