SUKAN

Lebih 5,000 Sertai Larian Hari Olimpik Di UTeM

21/06/2026 02:40 PM

MELAKA, 21 Jun (Bernama) -- Lebih 5,000 peserta menyertai Larian Hari Olimpik 2026 sempena sambutan Hari Olimpik Sedunia di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di sini hari ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata acara larian bertema “Hijau dan Warisan” sejauh 3.5 kilometer itu antara aktiviti utama dalam memperkasakan Pergerakan Olimpik di Malaysia.

“Larian Hari Olimpik dianjurkan setiap tahun dan sejak kebelakangan ini kita menganjurkannya berskala lebih besar melibatkan lebih ramai masyarakat berbanding beberapa tahun sebelumnya.

“Ini kerana pergerakan Olimpik perlu dirasai sehingga peringkat akar umbi termasuk penyertaan mahasiswa supaya mereka menjadi duta kecil MOM dalam usaha melebarkan lagi pergerakan MOM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas Larian Hari Olimpik 2026 yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam yang juga Canselor UTeM dan hadir sama ialah Timbalan Presiden MOM Datuk Nur Azmi Ahmad.

Mohamad Norza berkata selaras dengan Inisiatif Kampus Hijau UTeM serta komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, penganjuran larian itu mengintegrasikan tindakan lestari bagi mengurangkan sisa, meminimumkan impak alam sekitar dan meningkatkan kesedaran amalan hijau dalam kalangan peserta dan komuniti secara lebih meluas.

“MOM berharap melalui inisiatif hijau ini, Larian Hari Olimpik 2026 bukan sahaja menggalakkan warga UTeM untuk mengamalkan gaya hidup aktif, malah turut memupuk kesedaran terhadap kepentingan kelestarian alam sekitar dan menghargai khazanah warisan Melaka.

“Hari Olimpik juga bukan sekadar sambutan sukan, tetapi satu platform global yang melangkaui sempadan negara dan menyatukan masyarakat tanpa mengira latar belakang, sejajar dengan nilai Olimpik, iaitu kecemerlangan, penghormatan dan persahabatan,” katanya.

Beliau berkata sambutan Hari Olimpik Sedunia yang diraikan pada 23 Jun setiap tahun di seluruh dunia menekankan tiga objektif utama, iaitu menggalakkan masyarakat untuk kekal aktif, menghayati nilai Olimpik serta meneroka dan mempelajari sukan baharu.

Terdahulu, Mohamad Norza menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM50,000 kepada UTeM menerusi Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Dr Massila Kamalrudin bagi mewujudkan Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan dan Sukan.

Anugerah itu sebagai pengiktirafan kepada graduan dan bakal jurutera yang menunjukkan kecemerlangan akademik selain turut menekankan kepentingan kecemerlangan sukan sebagai nilai tambah dalam melahirkan graduan cemerlang intelektual serta sihat dan aktif.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571123