MELAKA, 19 Jun (Bernama) -- Tiga laluan penerbangan baharu iaitu satu ke ke destinasi antarabangsa dan dua ke destinasi domestik, dijangka dibuka menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM), Batu Berendam di sini menjelang akhir tahun ini.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata laluan berkenaan ialah Melaka-Batam, Indonesia-Melaka; Melaka-Kota Bahru-Melaka; dan Melaka-Pulau Pinang-Melaka.
“Kerajaan negeri sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk satu penerbangan tambang murah, untuk membuka tiga laluan berkenaan iaitu ke Batam, Kota Bharu dan Pulau Pinang.
“Kita berhasrat dan akan mencuba sebaik mungkin untuk merealisasikannya pada tahun ini, tetapi ia bergantung pada penilaian syarikat penerbangan terlibat,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke LTAM sempena penerbangan Melaka-Pekanbaru-Melaka di LTAM di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka (Tourism Melaka) Nasrul Ahmad.
Ab Rauf berkata kerajaan negeri juga sedang berbincang dengan kerajaan Persekutuan, bagi memastikan fasiliti di LTAM dapat memenuhi keperluan bagi operasi syarikat penerbangan terlibat.
Beliau berkata pembukaan tiga laluan penerbangan berkenaan, merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk mempromosikan Melaka sebagai destinasi pelancongan, sekali gus merancakkan sektor berkenaan dan meningkatkan ekonomi negeri.
Ab Rauf berkata walaupun saiz LTAM lebih kecil berbanding lapangan terbang lain, tetapi fasiliti itu diuruskan dengan baik oleh Malaysia Airports Holdings Berhad.
“Walaupun Melaka ini kecil, tetapi kita ada sebanyak 150 penerbangan sehari yang dilakukan Malaysia Flying Academy di sini dan kesibukan laluan udara di negeri ini akan bertambah dengan pembukaan laluan penerbangan baharu itu.
“Kerancakan ekonomi negeri ini telah menarik banyak syarikat penerbangan untuk datang melihat potensi Melaka dijadikan hab penerbangan,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata lawatan ke LTAM, bertujuan melihat penambahbaikan yang boleh dilakukan di fasiliti itu daripada pelbagai aspek antaranya melibatkan Jabatan Imigresen seperti perkhidmatan daftar masuk serta urusan ketibaan pelancong.
-- BERNAMA