AM

Sekatan Sementara Udang Dari Thailand Tidak Jejas Bekalan Tempatan

21/06/2026 03:43 PM

MARANG, 21 Jun (Bernama) -- Bekalan udang di negara ini dijamin mencukupi meskipun Malaysia mengenakan sekatan sementara ke atas lima spesies udang dari Thailand sejak 1 Jun.

Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata persatuan dan penternak udang tempatan telah merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi keperluan domestik dan eksport negara. 

“Udang kita mencukupi, malah maklum balas penternak dan persatuan penternak juga menyokong tindakan ini (sekatan sementara) dan mula merancang meningkatkan kapasiti pengeluaran udang mereka.

“Udang negara kita juga ada dieksport seperti ke negara Teluk, Korea Selatan, Kesatuan Eropah dan Australia,” katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pengoperasian Semula Kapal Latihan Cermin (KL Cermin) di Akademi Perikanan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan rekod, Malaysia mengimport kira-kira 11,000 tan metrik udang dari Thailand setiap tahun dan mengeksport kira-kira 3,000 tan metrik udang setahun ke negara itu. 

Adnan berkata langkah sekatan itu juga dapat melindungi industri daripada lambakan produk luar selain memastikan kawalan biosekuriti lebih ketat bagi memastikan industri perikanan negara bebas daripada penyakit dan bahan kimia terlarang.

Pada 16 Mei, Malaysia memperketat kawalan import produk perikanan dari Thailand menerusi penguatkuasaan keperluan Sijil Analisis (CoA) bagi ikan siakap serta sekatan sementara terhadap lima spesies udang bermula 1 Jun.

Sekatan sementara itu membabitkan spesies Penaeus esculentus (udang harimau coklat), Fenneropenaeus merguiensis (udang kaki merah/putih), Penaeus vannamei (udang putih lutz), Penaeus monodon (udang harimau) dan Penaeus stylirostris (udang biru).

Terdahulu, Adnan berkata KL Cermin milik Akademi Perikanan Malaysia kembali beroperasi selepas melalui kerja baik pulih dan naik taraf pada 2023 yang bernilai RM10.14 juta. 

Ia merangkumi kerja penambahbaikan enjin baharu, pembaikan sistem teknikal pengoperasian pukat dan perolehan peralatan pukat bagi memastikan kapal itu dapat beroperasi secara optimum.

Beliau berkata kapal latihan moden dengan muatan kasar 160 tan metrik itu direka khusus untuk menyokong latihan praktikal, penyelidikan dan pembangunan kompetensi dalam industri perikanan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571144