AM

RUU Pengawalan Baja Dalam Proses Akhir Penggubalan

22/06/2026 02:15 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) kini berada dalam fasa akhir proses penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengawal selia standard kualiti, rantaian pengedaran, serta memastikan kestabilan bekalan baja di pasaran negara.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata draf RUU itu setakat ini mencatatkan kemajuan yang amat positif bagi membolehkan penguatkuasaan penuh dilaksanakan kelak.

“Sekarang kita sedang dalam proses penggubalan RUU Baja. Saya dimaklumkan bahawa kita telah mencapai lebih kurang 70 hingga 80 peratus (kemajuan),” katanya pada sesi soal jawab Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang membangkitkan kerisauan petani mengenai bekalan baja di pasaran domestik yang kadangkala didakwa tidak sesuai digunakan setiap kali berlaku krisis di peringkat global.

Mengulas mengenai aspek kawalan kualiti, Chan berkata kewujudan undang-undang khusus itu amat kritikal demi memastikan kepentingan para pengusaha sektor pertanian sentiasa terpelihara daripada manipulasi rantaian pengedaran.

“Jadi ini sesuatu yang penting (dan) saya harap nanti (apabila) dibentangkan semua ahli Parlimen di sini menyokong RUU ini,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai langkah kerajaan dalam mendepani kesan krisis bekalan global, Chan berkata KPKM komited mengimbangi kesan krisis itu dengan melaksanakan pelbagai strategi mitigasi bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara tidak terputus.

“Konflik ini telah mencetuskan kejutan ekonomi global yang memberi impak langsung kepada lonjakan kos bahan api, serta input pertanian utama seperti baja dan racun, sekali gus meningkatkan risiko gangguan bekalan makanan domestik,” katanya.

Chan berkata antara langkah yang diambil kerajaan termasuklah melaksanakan kaedah pengecualian cukai jualan sementara serta menaikkan peruntukan bantuan khas bagi meringankan beban pesawah padi.

Sebagai pelan masa hadapan, beliau berkata kementeriannya sedang memperincikan langkah memperkukuh ekosistem agromakanan secara menyeluruh termasuk penggubalan akta baharu serta penyediaan ruang simpanan bekalan kecemasan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571428