EKONOMI

Malaysia Akan Terus Perkukuh Kerjasama Dalam Sektor Tenaga Dengan Rakan Strategik

22/06/2026 06:21 PM

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama dalam sektor tenaga dengan rakan strategik seperti Rusia dan Turkmenistan dan memastikan syarikat Malaysia kekal mematuhi obligasi antarabangsa dan menyedari risiko berkaitan sekatan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata pendekatan Malaysia dipandu oleh keperluan untuk mengimbangi kepentingan negara, pragmatisme ekonomi dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.

"Bagi pendapat saya, melihat kepada pengaturan yang sedang kita lalui, kita pasti perlu mengimbangi beberapa perkara. Pertama, kita perlu memelihara kepentingan negara kita.

"Kedua, kita perlu cukup pragmatik dari segi mengurus ekonomi kita dan ketiga, kita tidak boleh lari daripada mematuhi piawaian antarabangsa," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Akmal Nasrullah bekata demikian apabila ditanya sama ada penglibatan Malaysia yang lebih mendalam dengan bidang kuasa geopolitik yang sensitif boleh merumitkan pembiayaan, insurans, penyelesaian pembayaran atau akses kepada teknologi untuk syarikat Malaysia.

Pada Mei, 2026, Amerika Syarikat mengumumkan lanjutan 30 hari pengecualian sekatan untuk negara-negara yang membeli minyak dan produk petroleum Rusia yang kini telah dimuatkan di atas kapal tangki di laut, memandangkan konflik di Asia Barat telah mengganggu pasaran tenaga global.

Setiausaha Perbendaharaan AS Scott Bessent mengumumkan bahawa AS akan mengeluarkan lanjutan pengecualian itu untuk menyediakan negara-negara yang paling terdedah dengan keupayaan untuk mengakses minyak Rusia yang kini terkandas di laut buat sementara waktu sehingga 17 Jun.

Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan terus memberikan penjelasan dan memudahkan pengaturan yang membolehkan syarikat Malaysia mengejar peluang di luar negara serta kekal mematuhi obligasi antarabangsa.

Beliau menambah bahawa syarikat mesti menyedari sepenuhnya risiko sekatan dan kepentingan pematuhan apabila beroperasi dalam persekitaran sedemikian.

"Dari segi memberitahu syarikat Malaysia mengenai keperluan untuk benar-benar mematuhi dan pada masa sama memahami risiko sekatan, saya berpendapat ia adalah langkah perlu untuk mereka terlibat sama," katanya.

Akmal Nasrullah menekankan bahawa Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSCR) dan keperluan Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF) sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurus risiko yang berkaitan dengan perdagangan dan pelaburan antarabangsa.

Apabila ditanya sama ada pendirian berkecuali sahaja sudah mencukupi untuk melindungi syarikat-syarikat Malaysia daripada potensi risiko berkaitan sekatan, beliau berkata pihak perniagaan mesti melihat melangkaui usaha mengenal pasti peluang komersial dan meletakkan penekanan yang sama terhadap pematuhan serta pengurusan risiko.

"Mengetahui peluang sahaja tidak mencukupi, tetapi kita juga perlu benar-benar melihat dari segi pematuhan juga.

"Di situlah Malaysia boleh mengekalkan sikap berkecualinya. Tetapi pada masa sama, ia tidak bermakna kita dihalang daripada meningkatkan hubungan kita dengan pihak-pihak tertentu," katanya.

Akmal Nasrullah berkata hubungan Malaysia dengan Rusia dan Turkmenistan bukanlah sesuatu yang baharu, sambil menegaskan hubungan diplomatik dengan Rusia telah menjangkau lebih lima dekad, manakala Petroliam Nasional Bhd (Petronas) pula telah beroperasi di Turkmenistan sejak 1996.

Beliau menambah kerjasama dalam sektor tenaga harus dilihat dari sudut daya tahan dan kepelbagaian, bukannya semata-mata daripada perspektif bekalan yang sempit.

"Kita perlu melihat daripada konteks daya tahan, iaitu bagaimana kita boleh membangunkannya melalui kepelbagaian," kata beliau.

Akmal Nasrullah merupakan sebahagian daripada delegasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan kerja ke Rusia dan Turkmenistan baru-baru ini, bagi mengadakan perbincangan melibatkan usaha untuk memperkukuh keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia.

Menteri itu berkata keselamatan tenaga secara jangka panjang kekal menjadi pertimbangan utama ketika Malaysia sedang meneruskan agenda peralihan tenaganya dan mencari bekalan gas yang boleh dipercayai untuk menyokong keperluan tenaga di masa depan.

Beliau menambah Rusia telah memberi jaminan dan kesediaan untuk komited terhadap bekalan tenaga jangka panjang kepada Malaysia, yang memberikan kelegaan yang besar bagi negara dalam perancangan keselamatan tenaganya.

"Ia bukan sekadar untuk mendapatkan bekalan, tetapi kita perlu menjamin bekalan elektrik kita dan sebagainya. Dan semestinya, memandangkan kita komited terhadap peralihan tenaga dengan komitmen untuk tidak membina mana-mana loji jana kuasa arang batu baharu, ini bermakna kita memerlukan lebih banyak gas," tambah beliau.

Akmal Nasrullah berkata memastikan bekalan adalah penting untuk Malaysia memenuhi tahap permintaan elektrik yang minimum bagi menjamin sistem tenaganya dan memastikan keselamatan tenaga negara yang berterusan.

Dalam perbincangan itu, Rusia memberi jaminan kepada Malaysia mengenai bekalan minyak, gas dan diesel untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun akan datang.

Anwar berkata Putin menzahirkan komitmen itu semasa pertemuan di Kazan dengan menyifatkannya sebagai tanda hubungan dua hala yang kukuh antara kedua-dua negara semasa lawatan rasmi beliau ke Rusia baru-baru ini.

-- BERNAMA

 

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571577