JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kesan Dua Lelaki Termasuk Warga Myanmar Bantu Siasatan Kes Bunuh

22/06/2026 05:25 PM

GEORGE TOWN, 22 Jun (Bernama) -- Polis Pulau Pinang sedang mengesan dua lelaki, termasuk seorang warga Myanmar bagi membantu siasatan berhubung dua kes bunuh yang berlaku secara berasingan di negeri itu.

Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang dalam kenyataan hari ini memaklumkan mereka ialah Hein Min Zaw, warga Myanmar dengan nombor pasport MH120232 dan seorang lelaki tempatan Ong Wei Hao, 42.

“Hein dikesan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki warga Myanmar di Lorong IKS Juru 5, Simpang Ampat di sini pada 5 April lepas. Kes itu disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lelaki itu boleh menyalurkannya kepada pegawai penyiasat ASP Muazzam Syaaban di talian 017-482 5017,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian itu, seorang pekerja kilang warga Myanmar berusia 53 tahun ditemukan maut dalam keadaan tertiarap di tepi jalan dengan kesan tikaman pada bahagian rusuk. 

Suspek dikatakan memaklumkan kejadian itu kepada seorang rakan yang kemudiannya menyalurkan maklumat berkenaan kepada polis pada 10.50 malam dan bedah siasat mengesahkan mangsa maut akibat luka tikaman pada jantung.

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan Ong dikesan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki yang mayatnya ditemukan disumbat di dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh dekat sini pada 9 Okt tahun lepas.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki berkenaan boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Hasryman di talian 011-6331 9773.

Difahamkan, pemeriksaan dengan Jabatan Imigresen mendapati tiada pergerakan lelaki itu keluar negara dan tiada juga sebarang penggunaan identitinya termasuk BUDI95 di dalam negara.

Dalam kejadian itu, mangsa Lee Boon Han, 31, ditemukan dengan kesan cedera pada leher, tangan diikat dan kepala diserkup plastik.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada 1.46 tengah hari dan siasatan di lokasi mendapati mangsa dijumpai di dalam bagasi di kawasan belakang flat berkenaan.

Hasil bedah siasat oleh pakar forensik mendapati punca kematian adalah disebabkan sesak nafas.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571554