BEIJING, 22 Jun (Bernama-CMG) -- Ekspo Rantaian Bekalan Antarabangsa China (CISCE) edisi keempat membuka tirainya di sini hari ini.
CISCE tahun ini menumpukan kepada enam rantaian perindustrian utama, termasuk teknologi digital dan pintar, pembuatan canggih, pertanian hijau, kehidupan sihat, kenderaan pintar serta tenaga bersih, di samping menyediakan satu zon pameran khas untuk perkhidmatan rantaian bekalan.
Edisi kali ini berjaya menarik penyertaan 676 syarikat terkemuka dari 85 buah negara, wilayah dan pertubuhan antarabangsa. Daripada jumlah itu, lebih 65 peratus terdiri daripada syarikat yang tersenarai dalam Fortune Global 500.
Kecerdasan buatan (AI), yang menjadi antara tumpuan utama ekspo berkenaan, diperkenalkan buat julung kalinya menerusi zon pameran khas di bawah Rantaian Teknologi Digital dan Pintar. Ekspo itu turut menghimpunkan konglomerat peneraju dari dalam dan luar negara.
Sementara itu, zon pameran khas bagi ekonomi altitud rendah turut disediakan di bawah Rantaian Pembuatan Canggih dengan penyertaan lebih 30 syarikat pempamer bagi menunjukkan komitmen dalam mendorong ekosistem industri yang lengkap merangkumi teknologi terkini, hasil inovasi dan trend perkembangan semasa.
Sepanjang ekspo itu, lebih 160 produk dan projek baharu akan dilancarkan menerusi pelbagai majlis pelancaran, manakala 70 sesi padanan perniagaan turut dijadualkan berlangsung di tapak pameran.
-- BERNAMA-CMG