KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Atlet angkat berat negara, Muhamad Aznil Bidin mengakui pencabar dari India, Muthupandi Raja bakal menjadi ancaman terbesar dalam misinya memburu hatrik pingat emas pada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland, dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Atlet kelahiran Kedah itu berkata kemunculan atlet baharu India itu menjadikan saingan dalam kategori 65 kilogram (kg) kali ini lebih mencabar berbanding edisi sebelum ini.
"Untuk Komanwel kali ini, India ada atlet baharu yang muncul. Atlet lama sudah tiada tetapi hadir pula pencabar baharu yang perlu diberi perhatian," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Bagaimanapun, Aznil yang memenangi pingat emas pada edisi 2018 di Gold Coast dan 2022 di Birmingham tetap optimis mampu mempertahankan kejuaraannya selepas menjalani persiapan rapi menjelang temasya sukan empat tahun sekali itu.
Atlet berusia 32 tahun itu berkata beliau kini mengikuti kem latihan pusat di Rompin, Pahang sehingga 27 Jun sebelum berlepas ke Turkiye bagi menjalani latihan serta penyesuaian masa di Kem Latihan Angkat Berat Istanbul selama hampir sebulan sebelum ke Scotland.
Dalam pada itu, Aznil berharap skuad angkat berat negara turut dibantu pegawai fisioterapi dan tukang urut sepanjang temasya berlangsung bagi memastikan proses pemulihan atlet dapat dilakukan secara optimum.
Beliau berkata kejayaan mempertahankan pingat emas bukan sahaja penting untuk melengkapkan hatrik peribadi, malah mampu meningkatkan keyakinannya dalam usaha memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) menerusi Kejohanan Dunia di Ningbo, China pada November depan.
Malaysia dijangka menyenaraikan sembilan atlet angkat berat ke Sukan Komanwel 2026 dengan Aznil, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhammad Syahmi Ghazali antara prospek utama negara untuk menyumbang pingat.
-- BERNAMA