Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif
KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Selama beberapa dekad, formula kontinjen Malaysia di pentas Sukan Komanwel kelihatan cukup mudah apabila tumpuan lazimnya terarah kepada beberapa sukan tertentu yang hampir sinonim dengan kejayaan negara di pentas antarabangsa.
Badminton sentiasa menjadi sandaran utama, manakala skuasy dan gimrama hampir tidak pernah gagal menawarkan peluang emas, sementara acara terjun serta ping pong pula sering melengkapkan senarai harapan negara.
Formula itu bukan sekadar persepsi, sebaliknya terbina menerusi rekod pencapaian yang membentuk identiti Malaysia sebagai antara kuasa besar Sukan Komanwel di Asia.
Namun, apabila atlet negara berarak memasuki majlis pembukaan Sukan Komanwel Glasgow 2026 di OVO Hydro pada 23 Julai ini, formula sama tidak lagi boleh diguna pakai.
Buat kali pertama dalam sejarah moden penyertaan Malaysia, beberapa sukan yang selama ini menjadi tunjang kejayaan negara tidak dipertandingkan.
Ketiadaan badminton, skuasy, gimrama, terjun dan ping pong mungkin dilihat sekadar penyusunan semula program pertandingan.
Namun, bagi Malaysia, impaknya jauh lebih besar kerana ia bukan sahaja mengubah perkiraan sasaran pingat, malah memaksa keseluruhan ekosistem sukan negara berdepan persoalan yang selama ini jarang dibincangkan secara terbuka.
Sejauh manakah kekuatan sukan Malaysia benar-benar berkembang di luar sukan tradisi? Persoalan itu menjadikan Glasgow 2026 berbeza daripada mana-mana edisi sebelum ini.
Temasya kali ini bukan sekadar medan memburu pingat, sebaliknya menjadi ujian terhadap hasil pelaburan negara dalam pembangunan atlet pelbagai sukan sejak sekian lama.
Dalam erti kata lain, Glasgow 2026 akan memperlihatkan sama ada Malaysia memiliki kelompok bakat yang cukup besar untuk terus bersaing apabila sukan utama tidak lagi berada dalam program pertandingan.
Glasgow 2026 hadir dalam situasi luar biasa.
Selepas beberapa isu berkaitan kos penganjuran menyebabkan beberapa calon tuan rumah, termasuk Malaysia, menarik diri, bandar raya terbesar Scotland itu tampil menyelamatkan temasya empat tahun sekali berkenaan menerusi model penganjuran yang lebih kecil dan mampan.
Jumlah sukan yang dipertandingkan dikurangkan dengan ketara, manakala bilangan venue turut dirasionalisasikan dengan matlamat jelas untuk memastikan kelangsungan Sukan Komanwel dalam era peningkatan kos penganjuran acara sukan mega.
Bagi kebanyakan negara, perubahan itu mungkin hanya memerlukan sedikit pelarasan. Namun, bagi Malaysia, kesannya jauh lebih besar kerana ia melibatkan hampir keseluruhan sukan yang selama ini menjadi sumber utama pingat.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan Glasgow 2026 mungkin menjadi edisi Sukan Komanwel paling mencabar buat kontinjen negara dalam tempoh lebih dua dekad.
Dalam dunia sukan, kejayaan yang berulang kali mampu mewujudkan satu bentuk zon selesa.
Apabila sesebuah negara memiliki sukan yang hampir pasti menyumbang pingat setiap kali temasya berlangsung, tumpuan dan keyakinan sering terarah kepada cabang berkenaan, dan Malaysia tidak terkecuali.
Nama besar seperti Datuk Seri Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Mohd Azizulhasni Awang dan Datuk Pandelela Rinong telah membina keyakinan bahawa negara sentiasa mempunyai peluang untuk bersaing di peringkat tertinggi, namun Glasgow 2026 mengubah naratif itu.
Kali ini, Malaysia tidak mempunyai kemewahan untuk bergantung kepada reputasi masa lalu dan perlu mencari jawapan baharu.
Jawapan itu mungkin hadir daripada atlet yang selama ini bergerak di luar perhatian umum atau daripada sukan yang jarang menghiasi muka depan akhbar, malah mungkin juga daripada generasi baharu atlet yang masih belum dikenali ramai.
Dalam mana-mana temasya sukan, ukuran kejayaan lazimnya diterjemahkan menerusi jumlah pingat emas, perak dan gangsa yang dibawa pulang. Namun, Glasgow 2026 menawarkan perspektif yang sedikit berbeza.
Sekiranya Malaysia mampu menampilkan prestasi kompetitif meskipun tanpa beberapa sukan tradisi, ia akan menjadi petunjuk bahawa pembangunan sukan negara semakin matang dan tidak lagi bergantung kepada kelompok sukan tertentu semata-mata.
Sebaliknya, jika prestasi merosot dengan ketara, ia mungkin menjadi isyarat bahawa usaha memperluaskan asas kecemerlangan sukan negara masih belum mencapai tahap yang diharapkan.
Dalam konteks itu, Glasgow 2026 bukan sekadar pertandingan selama 11 hari, sebaliknya menjadi satu bentuk audit terhadap keberkesanan pelaburan, dasar dan perancangan yang dilaksanakan sejak sekian lama.
Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Komanwel Glasgow 2026 Datuk Awalan Abdul Aziz, ketika dihubungi Bernama, memaklumkan beberapa perkara penting melibatkan kontinjen negara sedang dimuktamadkan dengan esok menjadi hari terakhir penyerahan nama atlet yang akan bertanding.
Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos depan dan akan mempertandingkan 10 sukan, termasuk olahraga, renang, berbasikal trek, boling padang, tinju, judo dan angkat berat, selain enam sukan para secara bersepadu.
Sebagai rekod, Malaysia meraih tujuh emas, lapan perak dan lapan gangsa pada edisi 2022 di Birmingham, England. Namun, cabaran lebih getir menanti di Glasgow 2026 apabila empat daripada emas itu hadir menerusi sukan yang tidak lagi disenaraikan kali ini.
-- BERNAMA