KOTA BHARU, 22 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memiliki 1,070 pil yaba bernilai RM10,700 dalam pemeriksaan jalan raya di Jalan Kampung Paloh Bukit Panau, Tanah Merah, semalam.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata suspek ditahan anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Unit Kereta Peronda Polis (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut terhadap kenderaan dinaiki suspek menemukan satu bungkusan plastik lutsinar berisi air ketum yang disyaki mengandungi bahan mitragynine dengan isipadu kira-kira 500 mililiter di bahagian tempat letak kaki penumpang belakang sebelah kiri.
“Pemeriksaan seterusnya di bahagian tempat letak kaki penumpang hadapan sebelah kiri menemukan sebuah beg putih bertali yang mengandungi beberapa paket plastik berseal berisi pil disyaki dadah jenis yaba yang mengandungi methamphetamine,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohd Haki berkata hasil pemeriksaan mendapati keseluruhan rampasan melibatkan 1,058 biji pil yaba berwarna merah dan 12 biji pil berwarna hijau dengan anggaran berat keseluruhan 107 gram.
Selain dadah dan air ketum, polis turut merampas sebuah kereta Perodua Axia yang digunakan suspek.
-- BERNAMA