PASARAN

Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

22/06/2026 06:56 PM

Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Dagangan Bursa Malaysia susut pada akhir urus niaga Isnin ketika pelabur bertindak mengambil untung masing-masing selepas peningkatan pasaran tempatan baru-baru ini, kata penganalisis.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan sebanyak 0.65 peratus atau 11.19 mata kepada 1,700.84 daripada paras penutup 1,712.03 dicatatkan pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 1.56 mata kepada 1,710.47, malah bergerak dalam julat 1,699.94 hingga 1,712.32 sepanjang sesi hari ini.

Sentimen pasaran kurang memberangsangkan dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 551 berbanding 479, sebanyak 591 kaunter tidak berubah, 1,094 tidak diniagakan dan 14 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 3.27 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 3.45 bilion unit bernilai RM3.79 bilion pada Jumaat lepas.

Di peringkat serantau, indeks-indeks utama ditutup meningkat, disokong oleh minat belian ketara dalam saham-saham teknologi ketika pelabur terus mengambil kedudukan bagi memanfaatkan peluang pertumbuhan jangka panjang dicetuskan kecerdasan buatan (AI), kata Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng.

Beliau memberitahu Bernama, aliran masuk modal kukuh bagi sektor teknologi turut memaparkan keyakinan pelabur bahawa permintaan terhadap perkakasan berkaitan AI serta penyelesaian semikonduktor terus kekal berdaya tahan.

Di peringkat domestik, beliau bagaimanapun kekal berhati-hati susulan ketegangan Amerika Syarikat (AS) dan Iran yang masih belum menemui jalan damai dengan rundingan berkaitan masih goyah.

“Bagaimanapun, pasaran tempatan terus disokong oleh aktiviti memburu saham-saham berharga rendah bagi kaunter saham mewah serta peningkatan sentimen di serata pasaran serantau.

“Secara menyeluruh, kami menjangkakan FBM KLCI kekal dalam julat kecil pada masa terdekat ini dengan indeks petunjuk utama berkemungkinan diniagakan pada 1,690 hingga 1,720 minggu ini,” katanya.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank susut 22 sen kepada RM10.96, Public Bank turun 5 sen kepada RM4.90, CIMB kehilangan dua sen kepada RM7.63, IHH Healthcare berkurangan sembilan sen kepada RM8.71 manakala Tenaga Nasional tidak berubah pada RM14.50.

Saham paling aktif menyaksikan Tanco susut 1 sen kepada 13 sen, Zetrix AI naik 0.5 sen kepada 78.5 sen, Dagang Nexchange tidak berubah pada 46.5 sen, GIIB turun 4.5 sen kepada 42 sen manakala SKP Resources turun 0.5 sen kepada 27.5 sen.

Kaunter paling untung didahului UMS Integration yang menokok 32 sen kepada RM9.02, SAM Engineering meningkat 29 sen kepada RM5.19, Skyechip naik 27 sen kepada RM3.36, TMK Chemical menambah 21 sen kepada RM2.75 dan Kee Ming meraih 12 sen kepada RM1.47.

Sebaliknya kaunter paling rugi menyaksikan Malaysian Pacific Industries merosot RM1.06 kepada RM48.84, Nestle susut 92 sen kepada RM95.30, United Plantations berkurangan 70 sen kepada RM31.96, PPB turun 50 sen kepada RM9.62 dan Allianz kehilangan 40 sen kepada RM21.20.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 78.26 mata kepada 12,602.79, Indeks FBM Top 100 turun 83.01 mata kepada 12,436.61 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 73.17 mata kepada 12,485.49.

Indeks FBM Mid 70 merosot 125.48 mata kepada 18,037.10 manakala Indeks FBM ACE naik 0.13 mata kepada 4,792.65.

Mengikut sektor pula, Indeks Perladangan jatuh 16.16 mata kepada 8,857.06, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 203.32 mata kepada 20,001.26, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.78 mata kepada 188.79 dan Indeks Tenaga turun 3.41 mata kepada 762.86.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama berkurangan kepada 1.65 bilion unit bernilai RM2.06 bilion daripada 2.12 billion unit bernilai RM3.51 bilion pada Jumaat lepas.

Waran pula meningkat kepada 1.07 bilion unit bernilai RM147.22 juta daripada 717.45 juta unit bernilai RM72.58 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan turun kepada 559.21 juta unit bernilai RM195.49 juta berbanding 608.27 juta unit bernilai RM205.51 juta, sebelum ini.

Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna mencatat 192.38 juta saham diniagakan di Pasaran Utama dan diikuti dengan produk dan perkhidmatan industri (341.96 juta), pembinaan (101.26 juta), teknologi (356.87 juta), perkhidmatan kewangan (52.03 juta), hartanah (312.34 juta), perladangan (38.34 juta), amanah pelaburan hartanah (17.42 juta), dana tertutup (489,900), tenaga (52.76 juta), penjagaan kesihatan (90.50 juta), telekomunikasi dan media (28.58 juta), pengangkutan dan logistik (31.66 juta), utiliti (37.77 juta), dan amanah perniagaan (11,300).

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571612