PASARAN

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi, Jejaki Kenaikan Harga Minyak Kacang Soya Di CBOT

22/06/2026 10:07 PM

Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin, menjejaki kenaikan harga minyak kacang soya di Lembaga Dagangan Chicago (CBOT), kata peniaga.

Pedagang proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata kenaikan harga minyak kacang soya menyokong MSM memandangkan kedua-duanya merupakan minyak sayuran utama yang bersaing dalam pasaran minyak boleh dimakan dunia.

Beliau berkata sentimen pasaran turut disokong oleh jangkaan terhadap peningkatan angka eksport dalam beberapa minggu akan datang.

“Kami melihat harga disokong pada paras melebihi RM4,600 satu tan dan paras rintangan pada RM4,750 satu,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan Julai 2026 meningkat RM16 kepada RM4,610 satu tan, Ogos 2026 naik RM19 kepada RM4,641 satu tan manakala September 2026 menokok RM26 kepada RM4,672 satu tan.

Oktober 2026 menambah RM33 kepada RM4,701 satu tan, November 2026 naik RM40 kepada RM4,729 satu tan dan Disember 2026 meningkat RM44 kepada RM4,754 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 70,111 lot daripada 76,763 lot pada Jumaat lepas manakala kepentingan terbuka menokok kepada 287,720 kontrak daripada 287,112 kontrak.

Harga MSM fizikal bagi Jun Selatan meningkat RM70 kepada RM4,630 satu tan daripada RM4,560 satu tan pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571715