DUNIA

Switzerland Sambut Baik Kemajuan Konstruktif Dalam Sidang Kemuncak Iran-AS Di Burgenstock

22/06/2026 09:58 PM

GENEVA, 22 Jun (Bernama-Anadolu) -- Switzerland pada Isnin menyambut baik kemajuan yang dicapai dalam rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran di Burgenstock, termasuk penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi serta pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Switzerland memaklumkan bahawa ia mengambil maklum kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Qatar dan Pakistan, yang bertindak sebagai negara pengantara antara Washington dan Tehran dalam konteks konflik di Asia Barat.

"Sebagai pemudah cara, Switzerland mengalu-alukan kemajuan konstruktif yang dicapai menerusi rundingan diplomatik intensif yang berterusan sepanjang malam 21 hingga 22 Jun di Burgenstock melibatkan negara-negara pengantara, Iran dan Amerika Syarikat," menurut kementerian itu.

Switzerland turut menyambut baik penubuhan jawatankuasa peringkat tinggi oleh pihak-pihak terbabit berdasarkan memorandum persefahaman.

"Ini adalah satu langkah positif yang akan membantu menyusun fasa seterusnya dalam proses politik dan teknikal," menurut kementerian itu.

Ia turut mengalu-alukan persetujuan mengenai pelan hala tuju yang bertujuan mencapai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, sambil menyatakan bahawa langkah itu "mewujudkan syarat bagi penyambungan semula perbincangan teknikal baharu dengan segera".

Kementerian itu menyatakan bahawa Switzerland kekal bersedia untuk menyokong proses berkenaan selaras dengan tradisi jasa baiknya.

"Matlamat kami adalah supaya diplomasi kami menyumbang kepada usaha meredakan ketegangan, kestabilan dan keamanan," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571706