EKONOMI

Kerangka Baharu Eksport Minyak Sawit Indonesia Tarik Perhatian Malaysia, Pasaran Global

20/06/2026 11:08 AM

Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil

JAKARTA, 20 Jun (Bernama) -- Penggiat industri di Malaysia serta pembeli dan peniaga dalam pasaran utama kini memantau rapat perancangan Indonesia untuk mengetatkan kawalan eksport komoditi strategik melalui kerangka pemantauan baharu berkaitan kerajaan.

Pada masa sama, penganalisis turut membuat penilaian terhadap kesan yang mungkin timbul terhadap perdagangan minyak sawit dunia.

Kerangka itu adalah sebahagian daripada usaha menyeluruh kerajaan untuk meningkatkan pemantauan terhadap transaksi eksport, membendung amalan seperti invois yang rendah dan penetapan harga pemindahan serta mengekalkan bahagian pendapatan eksport yang lebih besar dalam sistem kewangan domestik.

Perkembangan ini penting kepada industri minyak sawit berikutan Indonesia dan Malaysia bersama-sama menyumbang lebih 80 peratus daripada eksport minyak sawit global sekali gus menjadikan sebarang perubahan dasar di kedua-dua negara sentiasa mendapat perhatian pembeli dan pedagang antarabangsa. 

Menurut unjuran Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA), Indonesia dijangka menghasilkan kira-kira 46 juta tan minyak sawit pada tahun pemasaran 2024/25 manakala unjuran untuk Malaysia kira-kira 19.4 juta tan, sekali gus mengekalkan kedudukan Indonesia dan Malaysia sebagai dua pengeluar minyak sawit terbesar dunia.

 

 

Pengeksport mahu penjelasan

 

Menurut Kaunselor Menteri (Ekonomi) di Kedutaan Malaysia di Jakarta Ahmad Akmal Muhamad, kebimbangan awal terhadap dasar itu turut dikongsi oleh pengeksport di Malaysia dan Indonesia.

Beliau berkata perniagaan telah meminta penjelasan yang lebih terperinci mengenai kaedah pelaksanaan kerangka itu terutama sama ada dokumen eksport sedia ada dan prosedur perdagangan akan digantikan di bawah sistem baharu itu.

“Pengeksport dari Malaysia dan Indonesia menyuarakan kebimbangan terhadap dasar ini, terutamanya memandangkan butiran pelaksanaannya masih belum diumumkan,” katanya kepada Bernama.

Kerangka itu yang diumumkan oleh Presiden Prabowo Subianto pada Mei, sedang dilaksanakan melalui Danantara Sumberdaya Indonesia (DSI), entiti berkaitan kerajaan yang ditugaskan untuk memantau eksport komoditi strategik terpilih, termasuk minyak sawit mentah (MSM), arang batu dan feroaloi.

Langkah itu melengkapi peraturan Indonesia yang telah disemak semula berhubung Pendapatan Pertukaran Asing daripada Eksport Sumber Asli (DHE SDA), yang menetapkan bahagian yang lebih besar bagi hasil eksport untuk kekal dalam sistem kewangan domestik.

Ahmad Akmal berkata sesi libat urus seterusnya dengan pihak berkuasa Indonesia menunjukkan bahawa kerajaan sedang menuju ke arah pendekatan berfokuskan pemantauan, bukannya rombakan menyeluruh terhadap proses eksport sedia ada.

 

 

Impak dijangka terhad ke atas pasaran

 

Sehubungan itu, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata kerangka itu sewajarnya dilihat terutamanya sebagai pelarasan peraturan domestik untuk meningkatkan ketelusan dan pengawasan perdagangan.

“Pada tahap ini, kami tidak menjangka sebarang perubahan struktur atau gangguan jangka panjang terhadap bekalan fizikal minyak sawit global,” katanya.

Ahmad Parveez berkata penjelasan terbaru daripada pihak berkuasa Indonesia menunjukkan bahawa kerangka itu memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek pemantauan, pelaporan dan penilaian keadilan harga, dan bukannya pembabitan secara langsung dalam kontrak komersial sedia ada atau hubungan pelanggan yang telah lama terjalin.

Oleh itu, beliau berkata sebarang pelarasan pasaran dijangka bersifat sementara dan terhad kepada penyelarasan pentadbiran pada sepanjang tempoh peralihan.

Menurut Ahmad Parveez, pada peringkat ini, tiada perubahan ketara dijangka berlaku terhadap bahagian pasaran Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata eksport minyak sawit Malaysia banyak bergantung kepada jumlah bekalan yang ada dan keadaan pasaran semasa.

“Walaupun terdapat kekurangan bekalan sementara dari Indonesia, Malaysia tidak berupaya menggantikan sepenuhnya jumlah eksport Indonesia di pasaran global,” katanya.

Menurut Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI), Indonesia mengeksport sebanyak 32.34 juta tan minyak sawit dan produk berkaitan pada 2025.

Menurut data MPOB, Malaysia pula mengeksport kira-kira 16.9 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit dalam tempoh yang sama.

Ahmad Parveez berkata pengimport utama dijangka tidak membuat perubahan yang ketara terhadap strategi pembelian berikutan keputusan pembelian akan terus dipacu oleh daya saing harga, ketersediaan produk dan kebolehpercayaan penghantaran.

Bagi pasaran Eropah, beliau berkata pematuhan kemampanan, kebolehkesanan dan keperluan dokumentasi kekal sebagai pertimbangan utama tanpa mengambil kira perubahan pada sistem pentadbiran eksport.

 

 

Pengawasan kukuh, kebolehkesanan lebih tinggi

 

Walaupun pemerhati industri di Malaysia menjangkakan impak segera yang terhad terhadap aliran perdagangan, ahli ekonomi Indonesia berpendapat dasar itu sebagai sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk memperkukuh kedudukan negara berkenaan dalam pasaran komoditi global.

Penganalisis Ekonomi dan Perniagaan Dr Muhammad Ramaditya berkata langkah menyatukan kawalan eksport di bawah satu kerangka tunggal boleh meningkatkan kedudukan Indonesia sebagai pengeluar MSM terbesar dunia untuk tawar-menawar di pasaran komoditi global.

Pensyarah Sains Pentadbiran Universiti Indonesia itu berkata pengawasan yang lebih kukuh akan memberikan Indonesia kejelasan yang lebih baik terhadap aliran eksport dan maklumat harga, membolehkan penggubal dasar memperkukuh tadbir urus eksport komoditi strategik dan mengurangkan pergantungan kepada pihak perantara luar.

Beliau berkata kerangka itu juga harus dilihat bersama peraturan DHE SDA yang disemak semula, memandangkan kedua-dua langkah itu diwujudkan untuk menambah baik pemantauan dalam hasil eksport, memperkukuh kecairan mata wang asing dan menyokong daya tahan ekonomi jangka panjang.

Menurut Ramaditya, dasar itu juga mencerminkan usaha kerajaan untuk mengekang ketirisan yang berpunca daripada amalan seperti invois yang rendah dan penentuan harga pindahan, di samping memastikan bahagian pendapatan komoditi yang lebih besar menyumbang kepada ekonomi domestik.

Selain objektif tadbir urus dan hasil, beliau berkata kawalan yang lebih ketat boleh menambah baik kebolehkesanan dan ketelusan di seluruh rantaian bekalan minyak sawit, sekali gus berpotensi menyokong usaha Indonesia untuk memenuhi keperluan kemampanan yang semakin dituntut oleh pasaran antarabangsa termasuk di bawah Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR).

 

Pelaksanaan kekal menjadi teras utama

 

Bagaimanapun, Ramaditya berkata kejayaan inisiatif itu akan bergantung kepada pelaksanaan, terutamanya ketersediaan infrastruktur digital dan kapasiti operasi DSI untuk mengendalikan jumlah perdagangan komoditi Indonesia yang sangat besar dengan cekap.

Beliau berkata cabaran bagi penggubal dasar adalah untuk memperkukuh kawalan tanpa mewujudkan beban pentadbiran tambahan yang boleh menjejaskan kecekapan aktiviti eksport.

Ramaditya menegaskan bahawa sebarang persepsi mengenai penglibatan yang berlebihan dalam mekanisme penentuan harga boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan perniagaan berhubung kecekapan pasaran walaupun kerajaan memberi jaminan urus niaga berasaskan pasaran akan diteruskan.

Walaupun kerangka itu pada mulanya dilihat sebagai langkah tadbir urus eksport, penganalisis berkata impak jangka panjangnya juga mungkin bergantung kepada sama ada ia meningkatkan ketelusan dan kebolehkesanan di seluruh rantaian bekalan tanpa menjejaskan aliran perdagangan.

Memandangkan Indonesia dan Malaysia terus mendominasi perdagangan minyak sawit global, kedua-dua negara itu kini berdepan tuntutan yang semakin meningkat daripada pasaran antarabangsa terhadap kebolehkesanan, kemampanan dan ketelusan rantaian bekalan yang lebih kukuh.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2570745