DUNIA

Thailand Sasar Reformasi Struktur, Tingkat Potensi Pertumbuhan Kepada 3 Peratus Menjelang 2030

22/06/2026 10:10 PM

BANGKOK, 22 Jun (Bernama-Xinhua) -- Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Thailand Ekniti Nitithanprapas mengumumkan pada Isnin pelan rombakan struktur yang disasarkan untuk melonjakkan potensi pertumbuhan ekonomi tahunan jangka panjang negara kepada tiga peratus daripada 2.7 peratus menjelang 2030, lapor Xinhua.

Bercakap selepas mesyuarat perundingan sektor awam-swasta, Ekniti berkata Kerajaan Thailand sedang mengubah jawatankuasa bersama berkenaan daripada sebuah forum penasihat pasif kepada enjin ekonomi eksekutif yang sangat berdisiplin.

Beliau berkata pelan hala tuju baharu yang dirangka itu menumpukan kepada usaha memperluas pelaburan domestik kepada hampir 30 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta memacu daya saing global Thailand ke dalam kedudukan 20 teratas dunia dalam tempoh empat tahun akan datang, dengan matlamat mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh 12 tahun.

Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, strategi yang diselaraskan berkenaan akan dilaksanakan secara sistematik menerusi empat tonggak utama: mewujudkan pangkalan industri baharu, mempromosikan perdagangan dan ekonomi tempatan, membangunkan modal insan serta inovasi, dan meningkatkan kecekapan sektor awam.

Mesyuarat itu turut meluluskan dasar "Reinvent Thailand" bagi memperkasakan tujuh industri strategik masa hadapan, termasuk pertanian dan makanan diproses, automotif masa hadapan, elektronik pintar, perubatan dan kesejahteraan, pelancongan, peruncitan dan perdagangan, serta ekonomi kreatif.

Kenyataan kerajaan mendedahkan bahawa sektor-sektor berkenaan mewakili lebih 273,000 perniagaan, menggaji lebih 11.9 juta orang dan menyumbang kira-kira 66 peratus daripada keseluruhan hasil perniagaan di seluruh negara.

--BERNAMA-XINHUA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571719