DUNIA

TLFP Sasar Bantu 15,000 Lagi Individu Susulan Sumbangan Trak Logistik Dari Jepun

23/06/2026 11:03 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Dianggarkan 15,000 lagi individu di seluruh Malaysia bakal menerima manfaat daripada bantuan makanan sepanjang tahun depan susulan sumbangan dua trak logistik berkapasiti tinggi oleh Kerajaan Jepun kepada The Lost Food Project (TLFP), sekali gus meningkatkan keupayaan organisasi itu untuk menyelamat dan mengagihkan semula lebihan makanan.

Dibiayai dan diserahkan di bawah Geran Bantuan untuk Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun yang berprestij, trak berkenaan akan meningkatkan lagi kapasiti TLFP secara langsung untuk menyelamatkan lebih banyak lebihan makanan berkualiti daripada dibuang ke tapak pelupusan sampah, dan mengagihkannya kepada komuniti yang memerlukan di seluruh negara.

"TLFP berkongsi visi yang sama dalam memperkasakan komuniti dan menangani cabaran sosial," kata Duta Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata, dalam satu kenyataan pada Selasa.

"Inisiatif ini amat bertepatan dengan misi kami untuk mempromosikan keselamatan manusia di peringkat akar umbi dengan menangani isu sisa alam sekitar dan ketakjaminan makanan.

Kami berharap trak buatan Jepun ini akan menjadi aset yang boleh diharapkan, sekali gus memperkasakan lagi usaha luar biasa TLFP dalam membantu keluarga yang memerlukan serta menyumbang kepada pembentukan masyarakat yang lebih berdaya tahan dan mampan," katanya.

Penambahan dua trak Isuzu baharu buatan Jepun yang ditaja itu bakal mengubah keupayaan TLFP dengan memperkenalkan sistem logistik rantaian sejuk berkapasiti tinggi dengan serta-merta.

Setiap kenderaan mampu menyelamatkan kira-kira lapan palet makanan dan barangan keperluan bagi setiap perjalanan.

Pengangkutan yang dilengkapi sistem kawalan suhu ini memastikan produk segar kekal elok dan berada pada tahap optimum apabila sampai kepada penerima manfaat, menjadikannya sangat sesuai untuk perjalanan jarak jauh.

Apa yang lebih penting, aset ini membolehkan TLFP mengorak langkah ke arah visi jangka panjangnya untuk meluaskan operasi ke seluruh Malaysia, sekali gus melebarkan sayapnya ke luar Lembah Klang.

Dengan mewujudkan rangkaian logistik baharu ke Ipoh dan menyasarkan Cameron Highlands yang merupakan antara sumber utama lebihan hasil pertanian di Malaysia pasukan itu menyasarkan untuk meluaskan kawasan operasi menyelamat makanan secara signifikan dalam beberapa bulan akan datang.

"Baru-baru ini kami menghadapi kekangan untuk berkembang. Aktiviti pengumpulan kami di Lembah Klang mencapai had maksimum kerana kenderaan kami digunakan secara berlebihan dan mengalami kerosakan. Pemandu kami juga mengalami tekanan akibat bekerja dalam tempoh masa yang lama untuk menghantar semua makanan yang diselamatkan.

"Selain itu, usaha kami untuk berkembang ke kawasan lain di Malaysia terpaksa ditangguhkan sementara kami mengumpul dana bagi mendapatkan kenderaan dan gudang," kata Presiden TLFP, Geoff King.

Sambil merakamkan penghargaan kepada rakyat Jepun, King berkata: "Kini kami dapat mengorak langkah ke hadapan, meningkatkan volum pengumpulan dan mengatasi kekangan pertumbuhan ini dengan trak baharu ini."

"Setiap trak mampu membawa sehingga lapan palet, iaitu sekitar 3,000 hingga 4,000 kilogram (kg) makanan bagi setiap perjalanan. Di Lembah Klang, kami dapat memperluaskan perjalanan pengumpulan makanan sebanyak lebih 10 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan organisasi penerima manfaat meningkat kepada 115.

"Di samping itu, kami kini dapat membuka pusat kedua kami di Ipoh, dengan menempatkan sebuah daripada trak itu untuk mengumpul lebihan pertanian terus dari sumbernya."

Peningkatan kapasiti ini akan mendorong lebih banyak penderma komersial untuk melihat TLFP sebagai penyedia penyelesaian bagi menyelamatkan makanan yang sepatutnya berakhir di tapak pelupusan sampah.

Sepanjang tempoh projek selama 12 bulan ini, peningkatan kapasiti pengangkutan berkenaan akan melonjakkan jumlah penerima manfaat yang dibantu oleh TLFP sebanyak 11 peratus, sekali gus membantu tambahan 15,000 individu.

Tajaan ini membolehkan TLFP menyerap anggaran lima komuniti perumahan kos rendah baharu, menjadikan jumlah keseluruhannya 38 unit Program Perumahan Rakyat (PPR), selain menjalinkan kerjasama dengan 10 badan kebajikan baharu untuk berkhidmat kepada 115 organisasi secara keseluruhan.

Langkah ini membolehkan TLFP menyelamat dan mengagihkan jumlah makanan yang lebih besar, terutamanya buah-buahan dan sayur-sayuran segar, sekali gus meningkatkan keterjaminan makanan dan pengambilan nutrisi penerima manfaat secara langsung.

Perluasan kumpulan kenderaan yang strategik ini susulan evolusi operasi utama organisasi berkenaan.

Selepas menaik taraf daripada kemudahan bersaiz bawah 1,000 kaki persegi kepada ruang yang lebih besar pada 2023, TLFP sejak itu mengoptimumkan pusat pengedarannya kepada ruang dinamik seluas 7,000 kaki persegi.

Pengembangan berskala tepat ini direka untuk kecekapan maksimum dan model pusing ganti yang pantas, memandangkan barangan yang diselamatkan terdiri daripada barangan mudah rosak yang segar dan barangan yang hampir tamat tempoh; kemudahan ini berfungsi sebagai hab transit yang bergerak pantas, memastikan makanan diedarkan dengan segera dan diambil dengan segera oleh mereka yang memerlukan.

Beroperasi dari hab berkecekapan tinggi ini membolehkan TLFP menerima sumbangan makanan yang jauh lebih besar.

Selain menyelamat hasil segar daripada peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL), organisasi itu juga berjaya menarik penyertaan pemborong, pengimport dan pengeksport utama di luar rangkaian sedia ada.

Disebabkan oleh kadar makanan diselamatkan yang lebih tinggi, TLFP meluaskan jangkauannya di kawasan PPR daripada 15 kepada 33 lokasi bagi memastikan pengagihan yang saksama.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572189