EKONOMI

Spekulasi Politik, Kemungkinan PRU16 Bukan Faktor Utama Pengaruhi Keputusan Pelabur

23/06/2026 10:04 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) --  Spekulasi politik dan kemungkinan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) bukan faktor utama yang mempengaruhi keputusan pelabur asing, meskipun kestabilan politik kekal sebagai antara pertimbangan penting dalam menentukan destinasi pelaburan.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata sebaliknya, keputusan pelaburan lazimnya dipengaruhi oleh pelbagai faktor asas ekonomi dan perniagaan yang lebih menyeluruh.

"Meskipun Malaysia telah melalui beberapa peralihan pentadbiran kerajaan sebelum ini, kesinambungan pelaksanaan dasar pelaburan serta komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan persekitaran pelaburan yang telus, konsisten dan mesra pelabur melalui MITI dan agensi-agensinya, telah berjaya mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara destinasi pelaburan pilihan utama di rantau ini," kata kementerian itu.

MITI berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian itu menjawab pertanyaan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) mengenai perancangan kerajaan bagi mengurangkan persepsi negatif pelabur asing yang mengaitkan spekulasi politik dan PRU-16 sebagai faktor ketidakyakinan mereka dalam membuat pelaburan.

Mengulas lanjut, MITI berkata prestasi pelaburan Malaysia yang diluluskan dalam pelbagai sektor ekonomi bagi tempoh 2021 sehingga 2025 berjumlah RM1.7 trilion, melibatkan 30,301 projek dan dijangka akan menjana sebanyak 825,502 peluang pekerjaan baharu, apabila projek-projek tersebut dilaksanakan kelak. 

Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing adalah sebanyak RM940.25 bilion, mewakili 54.6 peratus daripada keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam tempoh tersebut, katanya.

Kementerian itu turut menegaskan pelabur kini tidak lagi bergantung kepada kelebihan kos semata-mata, tetapi turut mengambilkira faktor lain dalam menentukan destinasi pelaburan mereka termasuk ketahanan rantaian bekalan. 

Menurut MITI, kejelasan dasar serta kestabilan ekosistem industri jangka panjang yang memberi isyarat mengenai kemampanan pelaburan sesebuah negara. 

"Dalam konteks ini, Malaysia mempunyai ekosistem pelaburan dan industri yang matang serta bersepadu merangkumi sektor elektrik dan elektronik, semikonduktor, peranti perubatan dan industri halal, yang disokong oleh rantaian bekalan domestik serta perkhidmatan kejuruteraan tempatan," katanya.

MITI berkata kekuatan ini membolehkan Malaysia menawarkan ekosistem industri yang menyeluruh serta akses pasaran yang lebih luas di rantau ini. 

Selain itu, ketersediaan infrastruktur industri yang baik serta integrasi rantaian bekalan domestik ini turut meningkatkan kecekapan operasi pelabur dan mengurangkan kebergantungan kepada rantaian bekalan luar yang lebih terdedah kepada risiko logistik dan ketidaktentuan geopolitik global, kata kementerian itu. 

-- BERNAMA


 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572179