AM

Murid Jatuh Bangunan: JPN Perak Beri Kerjasama Penuh, Adakan Siasatan Dalaman

23/06/2026 12:04 PM

IPOH, 23 Jun (Bernama) -- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan berhubung insiden seorang murid tingkatan satu yang dilaporkan terjatuh dari bangunan di sebuah sekolah semalam. 

JPN Perak memaklumkan selain membantu siasatan polis, pihaknya turut menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek yang berkaitan dengan kejadian berkenaan.

“Murid berkenaan kini sedang mendapat rawatan di hospital. Semoga dia dikurniakan kesembuhan segera dan keluarga diberi kesabaran serta ketabahan dalam menghadapi ujian ini.

“JPN Perak telah mengambil tindakan bagi memastikan kebajikan dan bantuan terbaik kepada keluarga murid. Sokongan psikososial turut diberi kepada warga sekolah yang terkesan,” menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, JPN Perak meminta masyarakat untuk memberi ruang kepada siasatan pihak berkuasa dan menghormati sensitiviti keluarga yang sedang berhadapan ujian ketika ini.

Semalam, pelajar berusia 13 tahun itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas dipercayai terjatuh dari bangunan di kawasan sebuah sekolah menengah di Ipoh dan mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk rawatan lanjut.

-- BERNAMA

KEYWORDS
        
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571829