JENAYAH & MAHKAMAH

PDRM Tempatkan Lebih 300 Anggota Pantau Penyelewengan Diesel Di Sempadan - KPN

23/06/2026 12:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan lebih 300 pegawai dan anggota di stesen minyak kawasan sempadan negara sebagai langkah proaktif mengekang aktiviti penyelewengan serta penyeludupan diesel.

​Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata penugasan itu bagi memantau sebarang pembelian bahan bakar berkenaan secara berlebihan.

​Beliau berkata langkah awal itu dilaksanakan susulan pengumuman kerajaan berhubung pelarasan harga baharu diesel bersubsidi untuk rakyat tempatan pada kadar RM2.10 seliter bermula 1 Julai ini.

​"PDRM turut bekerjasama erat dengan agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan kegiatan penyeludupan ke luar negara dibasmi ke akar umbi," katanya.

​​Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.

​Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia diturunkan kepada RM2.10 seliter bermula bulan depan.

​Anwar berkata pelarasan itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi bersandarkan kaedah pengesahan MyKad, selaras dengan pendekatan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

​-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571853