KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) -- Penyasaran subsidi diesel di bawah BUDI MADANI menggunakan MyKad dilihat mampu mengurangkan ketirisan hingga 1 billion liter setahun sekali gus membantu menjimatkan perbelanjaan subsidi dan menjamin kestabilan bekalan bahan api dalam negara.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ketirisan subsidi sebelum ini banyak berlaku dalam sektor diesel kerana penggunaan pengesahan melalui MyKad tidak dilaksanakan secara meluas seperti petrol RON95.
Beliau berkata penggunaan MyKad membolehkan hanya warganegara yang layak menikmati subsidi manakala bukan warganegara perlu membeli bahan api pada harga pasaran ditetapkan.
"Anggaran kita ialah dapat mengurangkan ketirisan sebanyak 1 bilion liter diesel setahun. Ini bukan sahaja mengurangkan pembayaran subsidi yang tidak sepatutnya malah membantu menjamin kestabilan bekalan dalam negara," katanya pada sidang media selepas Taklimat Media Pelaksanaan Pembaharuan Penyasaran Subsidi Diesel di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun juga Menteri Kewangan Sabah .
Amir Hamzah berkata pelaksanaan subsidi diesel akan menggunakan pendekatan sama seperti mekanisme subsidi bersasar RON95 yang dilaksanakan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
Mengulas mengenai proses pendaftaran, beliau menjelaskan rakyat yang layak menerima subsidi asas tidak perlu membuat pendaftaran kerana kelayakan akan dikenal pasti secara automatik melalui sistem sedia ada.
Bagaimanapun, individu yang memerlukan kuota tambahan sebanyak 100 liter sebulan di bawah program BUDI Diesel perlu membuat permohonan melalui portal disediakan atau mendapatkan bantuan di pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
"Untuk kuota tambahan 100 liter itu, mereka perlu membuat permohonan. Pegawai LHDN akan membantu proses pendaftaran bagi mendapatkan kelayakan tambahan tersebut," katanya.
Beliau berkata kerajaan yakin penggunaan MyKad tidak akan menimbulkan masalah khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman memandangkan mekanisme serupa telah digunakan secara meluas menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Amir Hamzah berkata di Sabah sahaja terdapat kira-kira 1,493 premis yang terlibat dalam pelaksanaan SARA termasuk di kawasan pedalaman dengan kadar penggunaan penerima manfaat mencecah hampir 100 peratus.
Katanya, pengalaman pelaksanaan SARA membuktikan penggunaan MyKad sebagai medium pengesahan dan penebusan bantuan dapat diterima baik oleh rakyat termasuk di Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata kerajaan akan terus mendapatkan maklum balas pelbagai pihak bagi memastikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar berjalan lancar dan mencapai matlamat utama tanpa menjejaskan golongan yang layak menerima bantuan.
-- BERNAMA