JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Enam Suspek Serang Dua Lelaki Di Tokong

23/06/2026 03:04 PM

GEORGE TOWN, 23 Jun (Bernama) -- Polis menahan enam lelaki tempatan kerana disyaki terlibat mencederakan dua lelaki dengan senjata tajam hingga parah di sebuah tokong di Jelutong, awal pagi Ahad lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata kejadian pada 4.30 pagi itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham di sebuah pusat hiburan apabila seorang daripada mangsa, 31 tahun dituduh mencuri telefon bimbit seorang suspek, namun dakwaan itu tidak benar. 

“Suspek dipercayai mengekori mangsa ke sebuah tokong di Jelutong sebelum menyerangnya dan seorang lelaki berusia 64 tahun difahamkan penjaga di situ juga diserang semasa cuba meleraikan pergaduhan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini hari ini.

Lim berkata akibat serangan itu, mangsa pertama putus jari telunjuk manakala mangsa kedua putus jari kelingking, selain kedua-duanya cedera akibat ditetak. Bagaimanapun mereka dilaporkan stabil dan masih dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Susulan itu, beliau berkata enam suspek berusia 26 hingga 38 tahun ditahan pada hari sama di sekitar daerah Timur Laut dan polis merampas beberapa barang kes termasuk sebilah parang, telefon bimbit (enam), masing-masing dua motosikal dan anak kunci, alat kawalan jauh (satu) serta sebuah kereta.

Lim berkata semua suspek ditahan reman sehingga 28 Jun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya serta Seksyen 120B kanun sama kerana pakatan jenayah, selain sebahagian mereka mempunyai rekod jenayah dan narkotik.

Dalam perkembangan lain, Lim berkata polis Pulau Pinang menahan 12 lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan bola sepak dan perjudian dalam talian menerusi Ops Soga XI sempena kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Beliau berkata operasi bersepadu itu dilaksanakan di seluruh negeri dari 11 Jun hingga 19 Julai bagi membanteras kegiatan pertaruhan sukan tanpa lesen dan perjudian dalam talian yang dijangka meningkat sepanjang kejohanan tersebut.

“Polis turut merampas wang tunai RM8,692 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti perjudian,” katanya.

Lim berkata semua suspek berusia 27 hingga 72 tahun dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk dokumentasi dan siasatan, sebelum diberikan jaminan polis sementara kertas siasatan dilengkapkan.

Menerusi operasi sama, polis turut mengesan 12 laman sesawang, platform, aplikasi dan akaun media sosial berkaitan aktiviti pertaruhan bola sepak serta promosi perjudian dengan tindakan menyekat serta menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Beliau berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, selain turut disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2571951