JENAYAH & MAHKAMAH

Penunggang Motosikal Positif Dadah Cedera Rempuh Pintu Kaca Hospital

23/06/2026 05:06 PM

KUALA TERENGGANU, 23 Jun (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal cedera ringan selepas merempuh pintu kaca Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini kira-kira 3 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata siasatan mendapati lelaki berusia 28 tahun itu yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo LC dipercayai dari arah Jalan Sultan Mahmud menghala ke Zon Kecemasan HSNZ, sebelum hilang kawalan dan merempuh pintu kaca di Zon Hijau hospital berkenaan.

Beliau berkata mangsa yang cedera di kedua-dua tangan dibawa ke bilik kecemasan untuk rawatan dan disahkan positif dadah jenis methamphetamin.

"Mangsa dibawa menjalani ujian air kencing kerana tingkah lakunya yang mencurigakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata lelaki itu masih ditahan di wad HSNZ untuk rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Kaedah 10, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572023