KLUANG, 23 Jun (Bernama) -- Isu pemilikan geran yang lama membelenggu sebahagian warga FELDA di Johor kini hampir selesai sepenuhnya apabila Kerajaan Negeri Johor berjaya menyelesaikan 99.99 peratus permohonan hak milik peneroka di negeri itu.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata setakat ini sebanyak 27,639 daripada 27,642 permohonan geran hak milik berjaya diselesaikan.
Pencapaian itu direkodkan susulan penyerahan geran hak milik kepada peneroka dari daerah Kluang, Kota Tinggi dan Mersing pada Majlis Penyerahan Hak Milik Peneroka FELDA Negeri Johor hari ini.
Onn Hafiz berkata kejayaan itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyelesaikan isu hak milik yang telah lama menjadi tuntutan warga FELDA, sekali gus memastikan kebajikan komuniti tanah rancangan itu terus terbela.
“Kita akan terus menjadikan (peneroka) FELDA atau tanah rancangan di negeri ini sebagai anak emas Kerajaan Johor. Apa juga masalah di sini akan terus mendapat perhatian dan kita (kerajaan negeri) akan cuba menyelesaikannya.
“Keputusan kerajaan (negeri) untuk menyelesaikan isu pemilikan geran ini juga sebahagian daripada agenda pembangunan luar bandar Johor,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor Datuk Zahari Sarip.
Pada majlis itu, sebanyak 210 peneroka dari Kluang, Kota Tinggi dan Mersing menerima geran hak milik mereka.
-- BERNAMA