KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Nilai kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian pada peringkat nasional melonjak daripada RM1.57 bilion pada 2024 kepada RM2.97 bilion pada 2025, dan mencecah RM830 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan, mengikut perbandingan modus operandi, pelaburan tidak wujud secara konsisten mencatatkan kerugian terbesar dengan rekod RM848.62 juta pada 2024, melonjak kepada RM1.46 bilion pada 2025 dan RM361.63 juta tahun ini.
Menurut KDN, trend itu diikuti rapat oleh jenayah telekomunikasi yang mencatatkan RM497.12 juta (2024), RM802.47 juta (2025) dan RM235.63 juta (hingga Mei 2026), manakala love scam kekal merekodkan kerugian RM45.87 juta (2024), RM47.44 juta (2025) dan RM17.76 juta bagi tempoh awal tahun ini.
Daripada aspek geografi pula, Selangor dan Kuala Lumpur kekal mencatat kerugian tertinggi, dengan Selangor melonjak daripada RM446.16 juta (2024) kepada RM986.79 juta (2025), manakala Kuala Lumpur meningkat daripada RM293.30 juta (2024) kepada RM782.86 juta (2025).
“Negeri dengan tumpuan ekonomi lain seperti Johor, Pulau Pinang, dan Perak turut merekodkan unjuran peningkatan setahun ke setahun yang signifikan antara 2024 dan 2025.
“Sementara itu, Sabah dan Sarawak juga mempamerkan trend kerugian yang hampir setara dan meningkat dengan melebihi RM110 juta pada 2025,” menurut KDN dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam portal Parlimen hari ini.
Kementerian itu menjawab soalan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Warisan) mengenai trend kerugian akibat jenayah penipuan dalam talian untuk tempoh tiga tahun kebelakangan ini mengikut kategori kes dan negeri, kadar kejayaan pemulihan wang mangsa, serta langkah yang diambil untuk meningkatkan keberkesanan pengesanan, pembekuan dan pemulangan dana kepada mangsa.
Menurut KDN, komitmen dalam membanteras jenayah dalam talian adalah melalui pengukuhan pengoperasian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC), yang beroperasi 24 jam dengan mengambil tindakan pantas melalui pembekuan akaun bank dan sekatan transaksi.
Sejak penubuhan NSRC pada 2022, secara keseluruhannya sebanyak RM32.49 juta dana mangsa penipuan telah berjaya disita, dan sejumlah RM10.9 juta daripadanya berjaya dipulangkan semula kepada mangsa.
“Berdasarkan statistik 2022 hingga 2025, wang yang disita berjumlah RM25.2 juta dengan 29 peratus atau RM7.3 juta daripadanya berjaya dipulangkan kepada mangsa, manakala bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, sebanyak RM7.25 juta dana telah disita dengan RM3.57 juta atau 49 peratus daripadanya berjaya dipulangkan kepada mangsa.
“Peningkatan peratus pemulangan dana ini membuktikan bahawa fungsi NSRC sebagai pusat respons scam nasional semakin efektif dan semakin dipercayai rakyat,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA