JENAYAH & MAHKAMAH

Tiga Termasuk Remaja Ditahan, Dadah Lebih RM120,000 Dirampas

25/06/2026 12:07 AM

IPOH, 24 Jun (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dan merampas ketamin serta pil disyaki Erimin 5 bernilai lebih RM120,000 hasil serbuan di sebuah rumah di Pengkalan Tiara di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata dalam operasi pada 8.45 malam itu, dua lelaki dan seorang perempuan warga tempatan berusia 17 hingga 43 tahun ditahan. 

Beliau berkata serbuan itu dilaksanakan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak hasil maklumat risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

"Pihak polis telah merampas satu bungkusan plastik lutsinar dan sembilan peket plastik lutsinar setiap satu berisi bahan disyaki dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 1,001 gram. 

"Turut dirampas 350 keping foil aluminium, setiap satu keping mengandungi 10 biji pil disyaki Erimin 5 dengan anggaran berat 1,100 gram. Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM120,050," katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Alwi berkata ujian air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis ketamin, manakala dua lagi negatif dadah.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai aktif sejak hampir dua tahun lepas dan dadah yang dirampas tersebut disyaki untuk diedarkan di negeri ini.

Katanya, suspek pertama direman selama empat hari bermula semalam dan suspek ketiga pula direman enam hari hingga 28 Jun, manakala permohonan reman seorang lagi suspek ditolak Majistret Mahkamah Ipoh.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Mohd Alwi berkata sebanyak 8,721 individu telah ditangkap berkaitan kesalahan dadah di seluruh Perak bagi tempoh Januari hingga bulan lepas.

"Kejayaan ini adalah hasil kerjasama yang berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan, khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

-- BERNAMA


 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572682