KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengemukakan 17 syor penambahbaikan kepada kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menangani isu peningkatan premium insurans kesihatan dan caj hospital swasta.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata syor berkenaan terkandung dalam penyata PAC berhubung perkara itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini, susulan kebimbangan awam terhadap peningkatan kos penjagaan kesihatan dan kemampuan rakyat untuk terus mengekalkan perlindungan insurans.
PAC mencadangkan MOF, BNM dan KKM mewujudkan tadbir urus yang baharu dan bebas untuk penjagaan kesihatan swasta bagi melindungi pengguna, termasuk untuk menyemak dan mengawal selia caj dan manfaat insurans kesihatan.
Beliau berkata KKM juga perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menetapkan mekanisme kawalan harga ubat dan peralatan perubatan agar kekal munasabah untuk mengelakkan tiada pihak yang mengambil keuntungan berlebihan.
“KKM perlu meneroka sumber bekalan daripada pengeluar secara terus (outsourcing) dengan mengutamakan pengeluar tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada dominasi pembekal atau kartel tertentu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata PAC turut mencadangkan KKM mempercepat pelaksanaan sistem Diagnosis Related Group (DRG) dalam sektor swasta serta menyegerakan pindaan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] bagi memberikan kuasa kepada KKM mengawal selia caj perkhidmatan hospital swasta selain yuran doktor.
“KKM perlu memperkasakan dan meneroka inisiatif-inisiatif yang meluaskan akses kepada perubatan mampu milik, sekali gus bertindak sebagai penanda aras harga (benchmark) bagi industri kesihatan swasta,” katanya.
KKM dan BNM juga disaran memperkasakan saluran atau mekanisme penyelesaian aduan bagi isu insurans dan kos perubatan supaya dapat diselesaikan dengan efisien dan berkesan.
PAC turut mencadangkan BNM mengeluarkan garis panduan operasi yang lebih terperinci dan seragam (standardized FAQ) bagi mengelakkan syarikat insurans memanipulasi tafsiran langkah interim yang diperkenalkan kerajaan.
“Bagi menjamin keberkesanan intervensi kerajaan, BNM perlu mengenakan tindakan punitif yang tegas ke atas mana-mana pengendali insurans yang dikesan memanipulasi tafsiran, atau gagal mematuhi langkah interim sehingga menjejaskan kebajikan dan kepentingan pemegang polisi,” katanya.
Dalam masa yang sama, BNM juga disaran memastikan industri insurans dan takaful beralih kepada pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil untuk mengelakkan kejutan kenaikan kewangan yang besar terhadap pemegang polisi.
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) pula dicadang memberikan panduan kepada pihak berkepentingan mengenai amalan rundingan diskaun antara pihak hospital dan insurans bagi memastikan proses itu adil dan tidak menjejaskan akses pesakit.
“Bagi mengurangkan kejutan kewangan kepada pengguna, PAC mencadangkan industri insurans dan takaful beralih kepada pelarasan premium tahunan yang lebih kecil dan stabil,serta mengkaji semula penetapan premium mengikut kumpulan secara lebih adil dan mampan,” katanya.
Untuk jangka panjang, kerajaan perlu menetapkan satu garis masa pelaksanaan yang munasabah dan jelas bagi semua langkah inisiatif RESET (Regulatory Enhancement for Sustainable and Efficient Takaful/Insurance), serta memastikan semua persiapan dilaksanakan secara tersusun bagi menjamin kesan yang mampan dan berterusan.
Mas Ermieyati berkata syor berkenaan dikeluarkan susulan sesi pendengaran awam berhubung isu itu di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur pada 14 dan 21 Feb tahun lepas, diikuti 19 prosiding antara 24 Feb hingga 14 Ogos 2025, dengan tempoh empat hari diambil bagi memuktamadkan penyata berkenaan.
Sebanyak 21 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk MOF, KKM, BNM, Persatuan Hospital Swasta (APHM), badan bukan kerajaan, wakil akademik, serta pemain industri insurans dan takaful.
-- BERNAMA