KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalin kerjasama dengan syarikat animasi tempatan MONSTA sempena sambutan Hari Bapa 2026 bagi menyampaikan mesej penghargaan terhadap peranan penting golongan bapa dalam institusi keluarga.
LPPKN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerjasama itu memanfaatkan populariti watak animasi Papa Zola bagi menyampaikan mesej kekeluargaan menerusi pendekatan yang lebih kreatif, dekat dengan masyarakat dan mudah diterima oleh pelbagai lapisan usia.
Menurut kenyataan itu, usaha berkenaan selaras dengan objektif Sambutan Hari Bapa Kebangsaan dalam memperkukuh institusi kekeluargaan serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hubungan erat antara ibu bapa dan anak-anak.
Pengarah MONSTA Media Faiz Zainal Abidin berkata Papa Zola bukan sekadar karakter animasi, sebaliknya menggambarkan seorang bapa yang sentiasa berusaha sedaya upaya demi keluarganya.
“Walaupun sering hadir dengan cara yang lucu dan mencuit hati, nilai kasih sayang serta tanggungjawab kekeluargaan yang dibawanya sangat dekat dengan kehidupan seharian.
“Kami berharap kerjasama bersama LPPKN ini dapat menyampaikan mesej positif kepada lebih ramai keluarga sempena sambutan Hari Bapa,” katanya dalam kenyataan sama.
Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 akan berlangsung pada 28 Jun di Taman Tasik Cyberjaya, Selangor dengan tema #SehebatKasihBapa, menampilkan pelbagai aktiviti termasuk “Treasure Hunt: Misi Bapa Hebat”, sesi bertemu peminat bersama maskot Papa Zola dan cabaran “Papa & Kids Challenge”.
Seiring dengan kerjasama itu, Papa Zola The Movie kembali ditayangkan di pawagam terpilih di seluruh negara menerusi tayangan khas sempena Hari Bapa bermula 11 hingga 30 Jun ini, sekali gus memberi peluang kepada keluarga meluangkan masa bersama sambil menghayati nilai keberanian, tanggungjawab dan kasih sayang seorang bapa terhadap keluarganya.
-- BERNAMA