AM

KPKT Sasar 53 Peratus Pengalihan Sisa Menjelang 2035 Melalui Kempen Kitar Semula

24/06/2026 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan peningkatan kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan kepada 53 peratus menjelang 2035 menerusi pelaksanaan Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026, yang dilancarkan hari ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata kempen bertemakan "Daripada Sisa Kepada Sumber" itu adalah langkah strategik bagi memperkukuh pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (2025-2035) di bawah usaha berterusan Kerajaan MADANI untuk mempercepat peralihan negara ke arah ekonomi kitaran lebih mampan.

Beliau berkata inisiatif tersebut bertujuan mengurangkan kebergantungan negara kepada tapak pelupusan sisa, selain memastikan sumber yang masih mempunyai nilai ekonomi dapat dipulihkan, diproses dan dimanfaatkan semula. 

"Dalam dunia berdepan ketidaktentuan rantaian bekalan global, sisa bukan lagi sesuatu perlu dibuang tetapi sumber yang perlu dipulihkan.

"Kitar semula bukan sekadar amalan hijau, malah merupakan strategi ekonomi negara bagi menjamin keselamatan sumber dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah import," katanya dalam  kenyataan hari ini.

Bagi memastikan kelancaran agenda berkenaan, Nga berkata KPKT menerusi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperhebat penguatkuasaan pengasingan sisa di punca, khususnya melibatkan sektor komersial, industri dan institusi secara berperingkat.

Beliau berkata SWCorp juga dipertanggungjawabkan untuk melaporkan kemajuan pelaksanaan dan tindakan penguatkuasaan secara berkala kepada kementerian bagi memastikan usaha itu dapat diperkasakan secara berterusan.

Selain itu, Nga berkata KPKT pada awal bulan ini bersetuju untuk mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula di semua pusat beli-belah secara berperingkat, sebagai antara satu syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis perniagaan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh pengurusan sisa pepejal, memperluas amalan ekonomi kitaran serta memudahkan orang ramai mengitar semula sisa buangan. 

"Sementara proses pelaksanaan ini dilaksanakan, saya berharap agar pusat beli-belah di seluruh negara dapat menggalakkan penyewa makanan dan minuman untuk mengasingkan sisa buangan dan menghantar bahan kitar semula ke Fasiliti Pengitaran Semula yang disediakan," katanya. 

Nga turut menegaskan kejayaan agenda ekonomi kitaran memerlukan pendekatan seluruh negara melibatkan kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri, pengeluar produk, pengusaha pusat beli-belah, pertubuhan masyarakat serta seluruh rakyat Malaysia, dan tidak boleh dipikul oleh kerajaan semata-mata.

Pada majlis diadakan di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre itu, Nga turut menyaksikan pelancaran kios "Sort & Drop Recycle the Cartons", hasil kerjasama strategik antara Tetra Pak, KPT Recycle dan LaLaport Bukit Bintang City Centre bagi memudahkan orang ramai mengasingkan serta mengitar semula kotak minuman terpakai.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572565