AM

KPKT Salur RM216.44 Juta Perkukuh Pembangunan, Kesejahteraan Rakyat Johor

25/06/2026 03:54 PM

JOHOR BAHRU, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyalurkan peruntukan berjumlah RM216.44 juta kepada Johor bagi memperkukuh pembangunan perumahan, kemudahan awam dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata peruntukan itu disalurkan menerusi Program Pembangunan KPKT di bawah Rolling Plan Pertama Tahun 2026, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata peruntukan tersebut merangkumi inisiatif strategik termasuk pembangunan perumahan rakyat, penyelenggaraan perumahan strata, kemudahan awam, keselamatan komuniti, pengurusan sisa pepejal serta pembangunan bandar dan desa.

“Peruntukan RM216.44 juta ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan rakyat Johor menikmati akses kepada perumahan yang berkualiti, kemudahan awam yang selesa serta persekitaran kehidupan yang lebih mampan dan sejahtera.

“Saya beri contoh flat ini (Flat Taman Ungku Tun Aminah) sudah 41 tahun, flat terbesar di Johor dengan lebih 80 blok. Hari ini, menerusi Program Sentuhan Kasih, kita mulakan baik pulih 10 blok dahulu," katanya pada sidang media Program Sentuhan Kasih KPKT 4.0 di Flat Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, di sini, hari ini.

Nga berkata sebahagian besar dana berkenaan disalurkan bagi memperkukuh agenda perumahan rakyat menerusi pelbagai program antaranya Rumah Malaysia (Disewa), Program Perumahan Rakyat (PPR), Program Residensi Rakyat (PRR) serta Pembangunan Perumahan Inklusif MADANI (PIM).

Selain itu, dana tersebut turut digunakan untuk menaik taraf kemudahan awam termasuk pasar awam, Gerai MADANI, sistem perparitan, tandas awam BMW (Bersih, Menawan, Wangi), taman rekreasi, balai bomba serta penyelenggaraan kawasan perumahan.

Katanya bagi memperkukuh agenda pembangunan mampan, peruntukan turut disalurkan untuk projek pengurusan sisa pepejal, penutupan selamat tapak pelupusan dan pembangunan landskap awam.

“KPKT juga meneruskan pelaksanaan Program Baik Pulih Rumah di Bandar, Inisiatif Penyelenggaraan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) dan Projek Pembangunan Kampung Baru yang bertujuan meningkatkan kesejahteraan golongan memerlukan serta memperkukuh perpaduan komuniti,” katanya.

Nga berkata KPKT akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Johor serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan setiap projek dilaksanakan secara cekap, telus dan berimpak tinggi.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572928