KANGAR, 25 Jun (Bernama) -- Pengguna memanfaatkan penganjuran Jualan Rahmah MADANI bagi mendapatkan barangan keperluan dapur pada harga lebih rendah berbanding pasaran sempena sambutan Hari Bapa 2026 peringkat negeri Perlis di ruang legar Bangunan Persekutuan di sini hari ini.
Seorang penjawat awam, Fiffy Haiza Abdul Rashid, 42, berkata perbezaan harga yang ditawarkan membolehkan pengguna berjimat cermat dan antara barangan dibelinya hari ini ialah gula, minyak masak, telur, beras serta pencuci pinggan.
Ibu kepada tiga anak itu berkata jualan seumpama itu memudahkan pengguna termasuk golongan bekerja sepertinya membeli barangan keperluan tersebut di lokasi berkenaan hari ini.
“Program seperti ini sememangnya membantu dan memudahkan kami membeli barang keperluan dengan pilihan tersedia pada harga lebih murah berbanding di luar,” katanya ketika ditemui Bernama pada penganjuran jualan itu hari ini.
Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Khalijah Zakaria, 47, berkata penganjuran jualan itu menjadi antara pilihannya mendapatkan keperluan dapur pada harga lebih berpatutan dengan hari ini mengambil peluang membeli minyak masak, beras, ayam serta bahan masakan lain untuk kegunaan keluarga.
“Saya mempunyai dua anak, dan kebiasaannya membeli barangan seperti beras, minyak masak serta ayam selain bahan memasak lain mengikut keperluan keluarga jika mengunjungi Jualan Rahmah MADANI ini.
“Harga ditawarkan lebih murah membolehkan pengguna membeli lebih banyak barangan dalam satu pembelian berbanding harga biasa di pasaran,” katanya yang turut mengharapkan inisiatif kerajaan itu dapat diteruskan setiap tahun.
Dalam pada itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis Rohaida Hassan berkata Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) di Perlis memberikan manfaat kepada 139,194 pengguna menerusi penganjuran 296 program jualan itu bagi tahun ini setakat 21 Jun lepas.
Beliau berkata daripada jumlah penganjuran program itu, sebanyak 226 dilaksanakan secara bergerak, diikuti 58 dalam premis, lapan luar premis, tiga PJRM@Kampus dan satu PJRM@Pasar.
-- BERNAMA