JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN Perlis Rampas Barangan Disyaki Guna Cap Dagangan Palsu Bernilai RM169,000

25/06/2026 12:10 PM

KANGAR, 25 Jun (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis merampas jersi dan seluar pelbagai saiz disyaki menggunakan cap dagangan palsu dianggarkan keseluruhan bernilai RM169,000 dalam operasi di sekitar Padang Besar, dua hari lepas.

Pengarah KPDN Perlis Rohaida Hassan berkata rampasan itu dibuat dalam operasi di lima premis pada 2 petang yang melibatkan kekuatan anggota penguat kuasa seramai 17 orang serta turut disertai wakil cap dagangan berkenaan.

"Operasi ini hasil maklumat risikan selama dua minggu ke atas peniaga yang didapati menjual pakaian disyaki menggunakan cap dagangan palsu di premis-premis berkenaan kepada pengguna," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rohaida berkata hasil pemeriksaan dan pengesahan awal oleh pemilik cap dagang itu mendapati terdapat alasan munasabah untuk kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 [Akta 815] telah dilakukan.

"Premis berkenaan mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan bagi maksud perdagangan barang-barang yang menggunakan cap dagangan palsu. Sehubungan itu, lima tindakan kes dihasilkan di bawah Akta Cap Dagangan 2019," katanya.

Beliau berkata KPDN Perlis memberikan amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak melanggar undang-undang harta intelek.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2572795