JOHOR BAHRU, 26 Jun (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Johor bertekad memperluaskan kejayaan Program Semarak Subuh menerusi pelaksanaan Program Semarak Isya’ di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya kembali diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.
Inisiatif itu antara 63 tekad yang ditawarkan dalam Manifesto BN Johor bertemakan “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan”.
Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata Program Semarak Isya’ dirangka bagi meneruskan usaha mengimarahkan masjid dan surau, bukan sahaja sebagai tempat menunaikan ibadah tetapi juga pusat ilmu, kebajikan serta penyatuan masyarakat setempat.
“Menerusi inisiatif itu, program berbentuk kuliah, pengisian kerohanian dan aktiviti kemasyarakatan akan dilaksanakan selepas solat Isyak, termasuk penyediaan jamuan makan malam percuma kepada jemaah,” katanya menerusi kenyataan.
Penyandang kerusi DUN Machap itu berkata kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan pembangunan fizikal dan pertumbuhan ekonomi tetapi perlu diseimbangkan dengan pembinaan nilai, kekuatan rohani dan keharmonian masyarakat.
“Program Semarak Subuh telah membawa masyarakat lebih dekat dengan masjid dan surau. Melalui Semarak Isya’, kami mahu semangat itu diteruskan dengan pengisian yang lebih dekat bersama keluarga, anak muda dan komuniti selepas selesai urusan harian mereka,” katanya.
Beliau berkata program berkenaan dijangka membuka ruang lebih luas kepada golongan muda dan keluarga untuk menyertai aktiviti keagamaan dalam suasana yang lebih mesra serta dekat dengan kehidupan masyarakat.
Onn Hafiz berkata pelaksanaan di setiap DUN akan membolehkan pengisian disesuaikan dengan keperluan masyarakat setempat, termasuk kuliah agama, program kekeluargaan, kesukarelawanan, kebajikan dan aktiviti pembangunan komuniti.
“Johor yang maju perlu dibangunkan dengan rakyat yang bukan sahaja berilmu dan berkemahiran tetapi turut memiliki kekuatan nilai serta rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Pembangunan yang sebenar ialah apabila ekonomi berkembang, rakyat sejahtera dan hubungan sesama masyarakat semakin erat. Itulah keseimbangan yang mahu dibawa melalui Semarak Isya’,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan esok sebagai hari penamaan calon bagi PRN Johor manakala hari pengundian pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun lepas.
-- BERNAMA