DUNIA

Harry Kane Cipta Rekod Bantu England Tewaskan Panama 2-0, Mara Ke Pusingan 32

28/06/2026 08:17 AM

ISTANBUL, 28 Jun (Bernama-Anadolu) -- England menewaskan Panama 2-0 dalam perlawanan akhir Kumpulan L Piala Dunia FIFA 2026 sekali gus mengesahkan kemaraan ke pusingan seterusnya di Stadium New York New Jersey, Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada babak pertama, namun England lebih menguasai permainan sepanjang 45 minit pertama.

The Three Lions melakukan sembilan percubaan berbanding tiga oleh Panama, dengan Marcus Rashford dan Bukayo Saka paling menyerlah mengancam kubu lawan.

Walaupun menguasai permainan, kedua-dua pasukan masing-masing hanya mencatatkan dua percubaan tepat ke gawang, manakala Panama, yang digelar Los Canaleros, turut beberapa kali mengancam menerusi serangan balas sehingga memaksa penjaga gol England, Jordan Pickford, melakukan satu aksi menyelamat.

England yang membelasah Panama 6-1 pada aksi peringkat kumpulan Piala Dunia 2018 dengan lima gol dijaringkan pada babak pertama, kali ini berdepan tentangan lebih tersusun dan berdisiplin daripada lawan mereka.

Kebuntuan dipecahkan pada minit ke-62 apabila Jude Bellingham menyempurnakan sepakan penjuru Bukayo Saka selepas England terus memberikan tekanan sepanjang babak kedua.

Lima minit kemudian, Bellingham pula mencipta peluang buat Harry Kane yang menanduk masuk hantaran lintangnya pada minit ke-67, menggandakan kelebihan England.

Gol itu bukan sahaja memastikan England mendahului 2-0, malah menyaksikan Kane muncul penjaring terbanyak England dalam sejarah Piala Dunia dengan 11 gol, mengatasi rekod 10 gol milik Gary Lineker.

England menamatkan saingan Kumpulan L di tangga teratas untuk mara ke pusingan seterusnya, manakala Panama menamatkan kempen di kedudukan tercorot dan tersingkir daripada kejohanan.

Berdasarkan kedudukan semasa, England dijadual menentang satu daripada pasukan tempat ketiga terbaik pada pusingan 32 terakhir.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573932