DUNIA

AS Tarik Balik Sekatan Ke Atas Model AI Mythos 5 Milik Anthropic

27/06/2026 12:30 PM

ISTANBUL, 27 Jun (Bernama-Anadolu) -- Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat menarik balik sekatan terhadap model kecerdasan buatan (AI) Claude Mythos 5 keluaran Anthropic, sekali gus membolehkan model itu diedarkan kepada lebih 100 institusi di negara itu, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Keputusan itu dimaklumkan menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Anthropic, dua minggu selepas kerajaan AS mengenakan kawalan eksport terhadap model AI berkenaan.

"Saya memutuskan bahawa langkah perlindungan yang sewajarnya telah tersedia bagi membolehkan rakan kongsi yang dipercayai mengakses model Claude Mythos 5," tulis Setiausaha Perdagangan AS Howard Lutnick kepada Ketua Pegawai Pengkomputeran Anthropic, Tom Brown, pada Jumaat.

Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan "kemajuan yang ketara" hasil rundingan intensif yang diadakan setiap hari antara kerajaan dan syarikat itu sejak sekatan berkenaan dikuatkuasakan.

Anthropic dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang berusaha menyediakan akses kepada penyedia perkhidmatan yang telah diluluskan serta memulihkan akses kepada Mythos 5 secepat mungkin.

"Kami gembira melihat perkembangan ini dan akan terus bekerjasama dengan kerajaan bagi memperluas akses kepada Mythos 5 serta membolehkan Fable 5 kembali tersedia untuk kegunaan umum," menurut kenyataan itu.

Perkembangan itu berlaku pada hari yang sama OpenAI melancarkan model terbaharunya, GPT-5.6 kepada senarai terhad rakan kongsi yang diluluskan kerajaan.

Langkah itu dilihat sebagai petanda penting kepada pengurangan ketegangan antara pentadbiran Presiden Donald Trump dan Anthropic berhubung isu keselamatan negara.

-- BERNAMA-ANADOLU

KEYWORDS
    
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573694