JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Lelaki Maut Dalam Kemalangan Berasingan Di Kuala Krai

27/06/2026 06:31 PM

KUALA KRAI, 27 Jun (Bernama) -- Dua lelaki maut dalam kemalangan membabitkan motosikal di lokasi berasingan di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai Supt Mazlan Mamat berkata kejadian pertama berlaku di Jalan Batu Balai-Mengkebang berdekatan Kampung Batu Balai melibatkan dua motosikal pada 10.04 malam.

"Remaja berusia 21 tahun yang menunggang motosikal Yamaha RXZ meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah, manakala penunggang motosikal Honda Dash iaitu lelaki berusia 45 tahun pula mengalami kecederaan parah dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra di sini.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal Honda Dash membelok ke kanan dengan tiba tiba menyebabkan mangsa yang menunggang motosikal Yamaha RXZ tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian berasingan, Mazlan berkata seorang lelaki berusia 30 tahun maut apabila motosikal dinaikinya terlanggar seekor lembu di Kilometer 81 Jalan Kota Bharu-Gua Musang berdekatan Kampung Peria di sini.

Beliau berkata dalam kejadian pada 11.22 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135L dari Kampung Lepan ke Kuala Krai tidak sempat mengelak apabila haiwan berkenaan tiba-tiba melintas jalan.

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk proses bedah siasat," katanya.

Mazlan berkata kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua kejadian berkenaan boleh hadir ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Khairul Izaat Md Nasir di talian 09-9666222.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573840