JENAYAH & MAHKAMAH

Kerajaan Tangani Isu Etnik Rohingya Secara Menyeluruh, Perkukuh Kawalan Sempadan

27/06/2026 07:06 PM

PADANG BESAR, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh dan bersepadu dalam menangani isu etnik Rohingya di negara ini dengan menumpukan kepada aspek memperkukuh kawalan sempadan dan penguatkuasaan serta kerjasama antarabangsa.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin berkata pendekatan itu dilaksanakan secara objektif dan berasaskan data serta perlu dilihat dalam konteks keselamatan negara secara keseluruhan bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara.

“Meskipun kadar penglibatan etnik Rohingya dalam jenayah di peringkat kebangsaan adalah rendah, isu tersebut tetap memerlukan perhatian kerana turut berkait dengan cabaran kawalan sempadan dan kewujudan sindiket rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat MADANI MKN, Jabatan Perdana Menteri di Kampung Titi Tinggi Hulu di sini hari ini.

Mengulas situasi di Perlis, katanya berdasarkan maklumat dibentangkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) semasa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Perlis Bil.1/2026 semalam, sebanyak 210 etnik Rohingya berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) direkodkan berada di negeri itu.

“Secara keseluruhan keadaan keselamatan di Perlis berada pada tahap baik hasil kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri serta agensi berkaitan walaupun negeri itu mempunyai cabaran sebagai kawasan sempadan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata MKN sedang menyelaras beberapa inisiatif strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) termasuk cadangan pembinaan tembok dan pagar keselamatan di sempadan antarabangsa Malaysia-Thailand.

Projek dicadangkan itu melibatkan jajaran sepanjang 131.4 kilometer merangkumi Perlis, Kedah dan Perak dengan anggaran kos RM327.198 juta yang kini pada peringkat antaranya penyediaan penyata keperluan (SON) bagi menentukan keperluan operasi, skop pelaksanaan serta spesifikasi projek.

“Pendekatan kawalan sempadan negara pada masa hadapan bukan hanya tertumpu kepada pembinaan tembok dan pagar tetapi turut melibatkan penggunaan teknologi moden termasuk kecerdasan buatan (AI), dron dan sistem pemantauan pintar,” katanya.

Sementara itu, mengenai projek kampung angkat itu, beliau berkata ia dilaksanakan di kawasan sempadan bertujuan memperkasakan komuniti melalui pembangunan infrastruktur, sosial, keluarga dan modal insan dengan RM1 juta diperuntuk untuk merealisasikan projek berkenaan.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2573861