KULAI, 27 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dijangka menyertai kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk menghadiri program kemuncak atau Grand Finale PH yang dirancang pada 9 Julai, dua hari sebelum hari pengundian.
Ketua Setiausaha PH merangkap Pengarah Pilihan Raya Bersama PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu ketika ditanya sama ada Perdana Menteri akan turun berkempen sepanjang tempoh PRN Johor.
"Ya, PM (Anwar) nanti akan turun," katanya pada sidang media selepas program turun padang bertemu calon PH yang bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam usaha memperkukuh gerak kerja kempen.
Antara calon PH yang bertanding ialah Arthur Chiong Sen Sern di DUN Bukit Batu, Mohd Syafwan Ani (DUN Bukit Permai), Wong Bor Yang (DUN Senai), Yeo Tung Siong (DUN Pekan Nanas), Haniff @ Ghazali Hosman (DUN Pulai Sebatang), Guna Balakrishnan (DUN Layang-Layang) dan Nor Hafiz Roslan (DUN Machap).
Ditanya sekerap mana Anwar akan hadir sepanjang kempen PRN Johor, Saifuddin Nasution secara berseloroh berkata ia bergantung kepada prestasi jentera pilihan raya PH.
"Kalau dia puas hati dengan persembahan saya, Amir (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Amirudin Shari) dan jentera, dia kata tak payahlah. Tapi kalau dia kerap, maknanya kami ada masalah," katanya.
Saifuddin berkata program grand finale PH dijadualkan berlangsung pada 9 Julai dengan kehadiran semua presiden parti komponen gabungan politik itu.
"Kita akan umumkan nanti. Semua presiden parti akan turun," katanya sambil menambah pengumuman lanjut mengenai kehadiran Perdana Menteri akan dibuat apabila tiba masanya.
"Setakat ini, kita teruskan fokus pada kempen," katanya.
-- BERNAMA