GOPENG, 27 Jun (Bernama) -- Program Jualan Agro MADANI yang dilaksanakan di seluruh Perak mencatatkan nilai jualan sebanyak RM3.76 juta sepanjang lima bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata program anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diadakan di 169 lokasi di seluruh negeri sepanjang tempoh berkenaan.
"Menjelang penghujung tahun ini, FAMA Perak menyasarkan pelaksanaan sebanyak 421 program Jualan Agro MADANI di seluruh negeri bagi memperluas manfaat program ini kepada lebih ramai pengguna dan usahawan.
"Kerajaan negeri percaya inisiatif pelaksanaan program sebegini bukan sahaja membantu meringankan kos sara hidup rakyat malah menjadi platform penting dalam memperkukuh rantaian pemasaran hasil pertanian, meningkatkan pendapatan usahawan serta merancakkan pembangunan ekonomi luar bandar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Jualan Agro MADANI Mega yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Zolkafly berkata Jualan Agro MADANI kali ini dijangka dapat menjana nilai jualan sebanyak RM750,000 serta memberi penjimatan sebanyak RM225,000 kepada kira-kira 50,000 pengunjung sepanjang program berlangsung.
Beliau berkata program tersebut menghimpunkan 132 lot pameran dan jualan melibatkan 89 orang usahawan, dengan kira-kira 30 peratus daripadanya merupakan usahawan baharu.
"Penyertaan ini mencerminkan komitmen FAMA dalam membuka lebih banyak peluang pemasaran kepada usahawan tempatan serta memperluas akses pasaran bagi produk agromakanan negeri.
"Antara tarikan utama program ialah penawaran 5,000 unit Kombo MADANI pada harga promosi RM10 berbanding harga asal RM20, sekali gus memberikan penjimatan sehingga 50 peratus kepada pengguna," katanya.
Mohd Zolkafly berkata pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai hasil pertanian segar termasuk 20 tan durian, lebih 15 tan buah-buahan tempatan serta 450 unit set dulang durian yang ditawarkan pada harga RM30.
Program tersebut turut dimeriahkan dengan penyertaan 310 unit penyimpanan stok (SKU) produk Industri Makanan Asas Tani (IMAT) selain lebih 250 jenis menu di Empayar Makanan serta jualan 140 jenis anak pokok dan produk florikultur.
Pelbagai aktiviti sampingan turut disediakan seperti Jualan Rahmah, gunting rambut percuma, tukar minyak hitam percuma, persembahan kebudayaan dan hiburan, sekali gus menjadikan program ini sebagai destinasi sehenti yang sesuai dikunjungi seisi keluarga.
-- BERNAMA