Oleh Nur Fadhliana Shaari
KOTA TINGGI, 27 Jun (Bernama) -- Pertembungan satu lawan satu antara calon-calon Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjejaskan Kerajaan Perpaduan pada peringkat pusat, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata struktur kerajaan di Malaysia jelas membezakan antara pentadbiran Persekutuan dan negeri, justeru perbezaan politik pada peringkat negeri tidak mengganggu hubungan serta urusan pentadbiran kerajaan.
“Pusat lain, negeri lain. Kita ini kerajaan Persekutuan. Bila sebuah persekutuan itu, negeri-negeri menjadi sebahagian daripadanya … tak ada masalah,” katanya kepada Bernama selepas Program Literasi Antibuli Negeri Johor di Westin Desaru Convention Centre, di sini hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO dan Ahli Parlimen Pengerang berkata walaupun sesebuah negeri ditadbir pembangkang, hubungan kerjasama dengan kerajaan Persekutuan masih berjalan baik terutama dalam aspek pembangunan dan kebajikan rakyat.
Azalina turut menegaskan bahawa fokus utama pengundi adalah memilih wakil yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, bukannya menjadikan sentimen politik sebagai keutamaan.
“Tapi yang lebih penting bagi saya adalah mengundi untuk perkhidmatan. Kalau dia undi yang kononnya nak mewujudkan membangkang, yang jadi mangsa rakyat.
"Macam di Johor kan ... itu sebab tema kerajaan memerintah dulu ialah Maju Johor jadi saya harap pengundi akan fikirlah … jangan nak marah nyamuk bakar kelambu," katanya.
Calon-calon BN dan PH akan bersaing satu lawan satu di 14 kerusi pada PRN Johor kali ini.
Sementara itu, Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata PH tidak menganggap pertarungan satu lawan satu dalam PRN Johor memberikan kelebihan secara automatik kepada mana-mana parti, sebaliknya setiap kerusi akan dinilai berdasarkan faktor setempat.
Beliau berkata walaupun terdapat 14 kerusi menyaksikan pertandingan satu lawan satu, keputusan pilihan raya di Malaysia masih banyak dipengaruhi faktor pada peringkat kawasan.
"Pilihan raya kita ini sangat bersifat mengikut kawasan. Tidak boleh melihat bahawa satu lawan satu memberi kelebihan kepada mana-mana pihak secara automatik.
"Kita kena tengok komposisi kaum, isu setempat, kelebihan seseorang calon dan keupayaan menyelesaikan rungutan rakyat," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan calon-calon PH pada PRN Johor, hari ini.
Proses penamaan calon bagi PRN Johor ke-16 hari ini selesai, dengan 172 calon diisytiharkan layak bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus membuka secara rasmi tempoh berkempen menjelang hari pengundian pada 11 Julai depan.
DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan pada 1 Jun lepas dan SPR menetapkan 7 Julai ini bagi hari pengundian awal, manakala 11 Julai sebagai hari mengundi.
Berdasarkan statistik SPR, PRN kali ini melibatkan sebanyak 2,727,926 pemilih berdaftar terdiri daripada 2,703,175 pengundi biasa, 12,041 anggota tentera dan pasangan, serta 12,710 anggota polis dan pasangan.
Bagi mendapatkan berita terkini tentang PRN Johor ke-16, sila layari https:/)prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA