KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Pemain badminton muda negara meneruskan rentak cemerlang apabila mara ke suku akhir acara berpasukan campuran Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 selepas menewaskan Korea Selatan 2-0 dalam saingan Kumpulan D di Jepun hari ini.
Skuad kebangsaan memenangi kedua-dua set menggunakan format pemarkahan berganti-ganti baharu dengan keputusan 55-32, 55-28 dalam aksi yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium.
Dalam set pertama, beregu lelaki Isyraf Hafizin-Ahmad Redzuan meletakkan Malaysia di hadapan apabila menewaskan Kim Tae Hyun-Lee Min Jae 11-10, diikuti kemenangan perseorangan wanita, Carine Tee ke atas Kwom Min Gyo, 22-19, manakala beregu wanita Genevie Lim-Low Zi Yu mencatatkan kemenangan ketiga untuk Malaysia selepas menundukkan Kim Han Bi-Min Gyo, 33-24.
Ahmad kemudian bergandingan dengan Zi Yu dalam perlawanan keempat untuk melebarkan jurang buat Malaysia apabila mengalahkan Min Jae-Yeo Seo Young 44-31 dalam acara beregu campuran sebelum Kong Wei Xiang mengesahkan kemenangan set pertama dengan 55-32 ke atas Jeong Da Hwan dalam perseorangan lelaki.
Aksi cemerlang kem Malaysia diteruskan apabila beregu lelaki Damien Ling-Irfan Shazmir menewaskan Tae Hyun-Min Jae, 11-3, sebelum Carine sekali lagi membuktikan kehebatannya dengan menundukkan Min Gyo 22-9 dalam acara perseorangan wanita.
Genevie-Zi Yu melebarkan jurang untuk Malaysia selepas menewaskan Han Bi-Min Gyo, 33-14 dalam beregu wanita manakala Ahmad-Zi Yu menewaskan Min Jae-Seo Young, 44-22 dalam beregu campuran.
Perseorangan lelaki Wei Xiang kemudian memuktamadkan kemenangan buat Malaysia dengan keputusan 55-28 ke atas Da Hwan.
Malaysia memulakan kempen semalam dengan menewaskan Macau 55-16, 55-31.
Dua pasukan teratas setiap kumpulan mara ke suku akhir.
Kejohanan itu menggunakan format pemarkahan secara relay atau berganti-ganti, dengan setiap perlawanan ditentukan menerusi format terbaik daripada tiga set yang masing-masing melibatkan 55 mata.
Setiap set merangkumi satu perlawanan bagi kelima-lima disiplin, dengan skor terkumpul dibawa dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya sehingga pemenang mencapai 55 mata.
Acara berpasukan BAJC 2026 yang bermula semalam akan berlangsung hingga 30 Jun.
-- BERNAMA