Oleh Nik Nurfaqih Nik Wil
JAKARTA, 28 Jun (Bernama) -- Tiga bulan selepas Indonesia memperkenalkan peraturan baharu bagi melindungi kanak-kanak berusia bawah 16 tahun dalam ruang digital, perhatian kini semakin tertumpu kepada sejauh mana pelaksanaannya mampu memberikan manfaat yang bermakna kepada golongan itu.
Dikenali sebagai PP Tunas, dasar berkenaan mencerminkan usaha global yang lebih luas untuk memperkukuh perlindungan kanak-kanak di alam maya, ketika semakin banyak negara memperkenalkan langkah lebih tegas bagi mengawal akses golongan muda kepada media sosial serta meningkatkan tanggungjawab platform digital dalam mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Australia menjadi negara pertama melaksanakan larangan di peringkat kebangsaan yang menghalang kanak-kanak bawah 16 tahun daripada memiliki akaun di platform media sosial utama, berkuat kuasa pada Disember tahun lepas.
Malaysia pula mula menguatkuasakan keperluan pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial untuk kanak-kanak bawah 16 tahun pada awal bulan ini, manakala beberapa negara Eropah turut melaksanakan atau sedang mempertimbangkan langkah perlindungan berasaskan umur bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko siber.
Indonesia turut menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memperkenalkan peraturan seumpama itu apabila ia mula berkuat kuasa pada 28 Mac tahun ini.
Peraturan berkenaan mewajibkan penyedia sistem elektronik mengesahkan umur pengguna, mengurus risiko serta menyediakan persekitaran dalam talian yang lebih selamat.
Platform yang dikenal pasti berisiko tinggi kepada kanak-kanak termasuk YouTube, TikTok, Facebook, Instagram, X, Roblox dan Bigo Live, tertakluk kepada kewajipan perlindungan kanak-kanak yang lebih ketat.
Walaupun peraturan itu secara umumnya disambut baik sebagai langkah positif, pelbagai pihak berpendapat keberkesanannya dalam jangka panjang bergantung bukan sahaja kepada penguatkuasaan kerajaan, malah kepada peningkatan kesedaran awam serta penglibatan berterusan keluarga, institusi pendidikan dan platform digital.
Aktivis pendidikan kanak-kanak yang juga pengasas Jumpa, Ade Rachmat menyifatkan PP Tunas sebagai langkah penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak di ruang digital Indonesia, namun berkata masih terlalu awal untuk menilai keberkesanannya secara menyeluruh selepas hanya tiga bulan dilaksanakan.
"Masih terdapat satu isu penting yang perlu diberi perhatian, iaitu tahap kesedaran awam yang masih rendah," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata ramai ibu bapa, pendidik dan masyarakat masih belum memahami sepenuhnya objektif dasar itu, cara pelaksanaannya serta peranan yang perlu dimainkan bagi menyokong pelaksanaannya.
Ade, yang juga mengetuai program pendidikan di rumah Pusat Kegiatan Belajar Masyarakat (PKBM) Kak Seto Bekasi, berkata cabaran terbesar bukan terletak pada peraturan itu sendiri, sebaliknya memastikan objektif serta pelaksanaannya difahami dengan jelas oleh masyarakat.
Menurutnya, kerajaan bersama pihak berkepentingan perlu mempergiat usaha pendidikan dan kesedaran awam secara lebih meluas serta tersusun agar ibu bapa, pendidik dan komuniti lebih memahami peranan masing-masing dalam menjayakan dasar itu.
"Apa yang diperlukan oleh kanak-kanak ialah kesedaran serta keupayaan menggunakan teknologi secara bijak, kritis dan bertanggungjawab," katanya.
Ade berkata kejayaan PP Tunas tidak seharusnya diukur semata-mata berdasarkan pengurangan akses kepada media sosial, sebaliknya turut mengambil kira peningkatan tahap literasi digital dalam kalangan keluarga dan masyarakat.
Pandangan itu turut dikongsi oleh bapa kepada dua anak dari Malaysia, Mohd Rosli Hanafi, 46, yang berkata peraturan berkenaan menggalakkan kanak-kanak mengurangkan masa di media sosial dan memberi lebih tumpuan kepada aktiviti pendidikan serta riadah.
Beliau berkata kini lebih mudah mengawal tempoh penggunaan skrin oleh dua anak lelakinya yang masing-masing berusia enam dan 12 tahun, dan kini lebih gemar menghabiskan masa dengan aktiviti luar seperti bermain bola sepak dan futsal bersama rakan-rakan.
Rosli, yang menetap di Jakarta sejak dua tahun lalu percaya langkah seumpama itu mampu membantu ibu bapa membentuk tabiat penggunaan teknologi yang lebih sihat dalam kalangan kanak-kanak, namun menegaskan pengawasan keluarga tetap menjadi faktor utama bagi memastikan teknologi digunakan secara bertanggungjawab.
Sementara itu, ibu kepada tiga anak lelaki warga Indonesia, Reinelda Revisionery, 39, menyifatkan PP Tunas sebagai inisiatif yang baik, namun berpendapat pelaksanaannya masih perlu diperkukuh.
"Ia satu permulaan yang baik, tetapi pelaksanaannya perlu lebih jelas dan disokong oleh teknologi yang lebih berkesan bagi mengelakkan kanak-kanak memintas sekatan yang ditetapkan," katanya.
Reinelda berkata kanak-kanak masih boleh mengakses kandungan dalam talian melalui peranti yang dikongsi bersama keluarga, termasuk YouTube menerusi televisyen pintar, manakala aplikasi yang dibangunkan khusus untuk kanak-kanak juga tidak dapat menjamin kandungan yang selamat sepenuhnya.
Beliau berkata sebelum PP Tunas diperkenalkan lagi, beliau telah menetapkan peraturan penggunaan skrin yang ketat di rumah dengan hanya membenarkan anak-anak menonton rancangan ketika waktu makan.
"Bagi kami, peraturan di rumah tetap paling penting kerana ibu bapa merupakan barisan pertama dalam mengawasi penggunaan teknologi oleh anak-anak," katanya.
-- BERNAMA