AM

Peranan Kukuh Bapa Cegah Penglibatan Anak Dalam Gejala Sosial

28/06/2026 01:37 PM

CYBERJAYA, 28 Jun (Bernama) -- Peranan bapa yang kukuh dan berfungsi dengan baik mampu menjadi lapisan perlindungan terawal dalam mencegah penglibatan anak-anak dalam gejala sosial, penyalahgunaan dadah dan keciciran nilai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata sehubungan itu, agenda pemerkasaan keibubapaan, khususnya penglibatan bapa dalam pembesaran dan pendidikan anak perlu terus diberi perhatian sebagai sebahagian daripada usaha negara membina keluarga stabil, masyarakat sejahtera dan mewujudkan masa depan lebih selamat bagi generasi akan datang.

“Dalam mendepani cabaran sosial hari ini, bapa perlu hadir bukan hanya sebagai penyedia keperluan keluarga, tetapi sebagai pembimbing nilai, pendengar yang dekat dengan anak-anak dan contoh teladan dalam membentuk sahsiah, disiplin dan daya tahan diri.

“Dengan tekanan kos sara hidup, pengaruh media sosial, perubahan sosial yang pantas dan tuntutan kehidupan yang semakin kompleks, kehadiran seorang bapa yang terlibat secara aktif dalam kehidupan anak-anak menjadi semakin penting,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Bapa Peringkat Kebangsaan 2026 anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Lim Hui Ying.

Fadillah Berkata Kerajaan MADANI sentiasa meletakkan institusi keluarga sebagai asas kekuatan negara dan selaras dengan aspirasi tersebut, Dasar KASIH Keluarga Negara yang dilancarkan sebelum ini menjadi panduan penting dalam memperkukuh institusi keluarga dalam negara.

“Dalam merealisasikan hasrat yang terkandung dalam Dasar KASIH Keluarga Negara, saya dimaklumkan bahawa LPPKN telah membangunkan Modul Kebapaan baharu pada 2025 yang memberi penekanan kepada kemahiran kebapaan moden.

“Modul ini merangkumi aspek kepimpinan, kesejahteraan psikologi, komunikasi berkesan dan pemanfaatan jaringan sokongan sosial bagi membantu bapa melaksanakan peranan mereka dengan lebih berkesan selaras dengan aspirasi Agenda Nasional KASIH Keluarga Negara untuk melahirkan masyarakat yang harmoni, sejahtera dan berakhlak mulia,” katanya.

Sementara itu dalam sidang media kemudiannya Lim berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited memperkasa golongan lelaki melalui MEN Empowerment Network (MEN) atau inisiatif Jaringan Pemerkasaan Lelaki.

Katanya, jaringan strategik yang menggabungkan kepakaran 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu akan bertindak sebagai penggerak utama program kebapaan secara holistik.

“Menerusi inisiatif itu, pelbagai latihan berkaitan pengurusan konflik, kemahiran keibubapaan dan kesihatan mental akan dilaksanakan bagi membantu golongan lelaki mengurus tekanan kehidupan, di samping menghapuskan stigma bahawa mendapatkan bantuan ketika berdepan cabaran emosi merupakan suatu kelemahan,” katanya.

Pada majlis sama, ‘Anugerah Khas Inspirasi Bapa’ turut disampaikan kepada tiga individu sebagai penghargaan kepada mereka yang mempamerkan ketabahan, pengorbanan dan komitmen luar biasa dalam membesarkan dan mendidik anak-anak.

Mereka merupakan pengasas Autism Cafe Project, Mohd Adli Yahya, aktivis masyarakat Mohd Azhan Mohd Adnan atau lebih dikenali sebagai Abbe Hae dan Mohd Yusof Mohd Noor atau ‘Abang Minyak Hitam Jalanan’.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574002