MADRID, 28 Jun (Bernama-Xinhua) -- Gelombang haba pertama musim panas di Sepanyol diikuti beberapa kejadian kebakaran hutan melanda pelbagai kawasan negara itu, lapor Xinhua.
Antara kawasan yang terjejas ialah La Litera di Wilayah Huesca di utara Sepanyol, dengan kira-kira 4,000 hektar kawasan terjejas, selain wilayah El Bierzo di barat laut dan beberapa kawasan di Wilayah Zaragoza.
Pihak berkuasa mengesahkan bahawa sebahagian kebakaran berpunca daripada panahan kilat.
Di Huesca, kira-kira 200 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka pada Jumaat, manakala 16,000 lagi diarahkan supaya berada di rumah susulan kebakaran yang berlaku di kawasan antara Tiana, Sant Fost de Campsentelles, Martorelles dan Santa Maria de Martorelles berhampiran Barcelona.
Sementara itu, pasukan polis wilayah Catalonia, Mossos d'Esquadra, mengesahkan seorang lelaki ditahan pada Jumaat kerana disyaki sengaja mencetuskan kebakaran berhampiran Barcelona.
Gelombang haba pertama tahun ini menyaksikan rekod suhu tertinggi bagi Jun di beberapa kawasan di Sepanyol, termasuk 43 darjah Celsius di Bilbao dan melebihi 45 darjah Celsius di Wilayah Jaen di selatan negara itu.
Suhu dijangka meningkat semula pada hujung minggu, dengan Madrid diramal mencatat sekitar 39 darjah Celsius pada awal minggu hadapan.
--BERNAMA-XINHUA