KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Barisan pemain muda Malaysia menamatkan kempen Kumpulan D dalam acara berpasukan Kejohanan Badminton Remaja Asia (BAJC) 2026 dengan cemerlang apabila muncul juara selepas menewaskan musuh tradisi, Indonesia 2-1 di bandar Yatsushiro, Jepun hari ini.
Skuad negara itu memenangi perlawanan menerusi set penentuan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan dengan keputusan 55-51, 49-55, 55-48, menggunakan sistem kiraan mata baharu, dalam kejohanan yang berlangsung di Yatsushiro City General Gymnasium.
Pada perlawanan pertama, beregu lelaki Damien Ling–Muhammad Shazmir Irfan memulakan langkah cemerlang apabila mengetepikan gandingan Muhammad Rizki Mubarrok–Raihan Daffa Edsel Pramono, 11-10, sebelum beregu wanita Genevie Lim–Low Zi Yu menjadikan kedudukan 22-15 setelah menundukkan Selsi Josika–Aurelia Syakira Putri.
Carine Tee kemudian mengalahkan Mayla Cahya Afilian Pratiwi dalam acara perseorangan wanita untuk memastikan Malaysia berada di depan dengan 33-27, manakala Ahmad Redzuan yang bergandingan dengan Zi Yu dalam beregu campuran berjaya mengetepikan cabaran Raihan Daffa–Atresia Naufa Candani untuk melebarkan jurang 44-36 sebelum perseorangan lelaki Kong Wei Xiang berjaya menentang Radhita Bayu Wardana bagi memastikan kemenangan set pertama 55-51.
Dalam aksi kedua, gandingan Muhammad Shazmir–Ahmad Redzuan memberikan permulaan baik buat Malaysia setelah menumpaskan Muhammad Rizki–Raihan Daffa 11-9, sebelum Genevie–Zi Yu menggandakan kelebihan menerusi kemenangan terhadap Halifia Usni Pratiwi–Aurelia Syakira Putri 22-18 bagi acara beregu wanita.
Bagaimanapun, Mayla Cahya mencetuskan kebangkitan pada Indonesia setelah menewaskan Carine untuk mengubah kedudukan kepada 33-31, sekali gus menjadikan negaranya pendahulu perlawanan sebelum Raihan Daffa-Atresia menambah kelebihan dalam beregu campuran apabila menang menentang Ahmad Redzuan–Zi Yu 44-42, manakala Fardhan Rainanda Joe memaksa perlawanan diheret ke set penentuan selepas menewaskan Wei Xiang 55-49 dalam acara perseorangan lelaki.
Pada set ketiga, Malaysia mendapat mata pertama menerusi Damien Ling–Muhammad Shazmir yang mengalahkan Muhammad Rizki–Raihan Daffa 11-9, manakala gandingan wanita Genevie–Zi Yu terus menambah kelebihan dengan 22-17 dalam pertemuan dengan Halifia Usni–Aurelia Syakira sebelum Carine memperkukuh kedudukan skuad negara dengan 33-32 apabila berjaya menentang Mayla Cahya dalam perseorangan wanita.
Bagi beregu campuran, Ahmad Redzuan–Zi Yu berjaya menewaskan Raihan Daffa–Atresia Naufa untuk mengukuhkan penguasaan Malaysia 44-40, dan perseorangan lelaki Wei Xiang juga bangkit mengalahkan Fardhan untuk memastikan Malaysia mara ke suku akhir sebagai juara kumpulan dengan kemenangan 55-48.
Jumaat lepas, Malaysia membuka kempen dengan menewaskan Macau 55-16, 55-31, dan meneruskan momentum positif apabila mengatasi Korea Selatan 55-32, 55-28.
Kejohanan itu menggunakan format permarkahan secara relay atau berganti-ganti, dengan setiap perlawanan ditentukan menerusi format terbaik daripada tiga set yang masing-masing melibatkan 55 mata.
Setiap set merangkumi satu perlawanan bagi kelima-lima disiplin, dengan skor terkumpul dibawa daripada satu perlawanan kepada perlawanan seterusnya sehingga pemenang mencapai 55 mata.
Acara berpasukan BAJC 2026 berlangsung hingga 30 Jun ini.
-- BERNAMA