Oleh Razif Rosli
IPOH, 28 Jun (Bernama) -- Teater Bangsawan Diraja Beting Beras Basah: Hikayat Mahkota Dewa bakal dipentaskan di Istana Budaya dari 30 Okt hingga 1 Nov depan, sekali gus mengangkat sejarah epik Melayu khususnya warisan Kesultanan Perak ke pentas berprestij negara.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebudayaan Negeri Perak Azmi Ismail berkata ia merupakan kesinambungan kejayaan pementasan terdahulu yang mendapat sambutan memberangsangkan di Perak dan Melaka sehingga menerima galakan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk dipentaskan di platform lebih besar.
“Sudah pasti impian semua penggerak bangsawan dan teater di Malaysia adalah untuk mementaskan karya di Istana Budaya, malah tahun ini impian itu menjadi kenyataan apabila Beting Beras Basah: Hikayat Mahkota Dewa akan dipentaskan selama tiga hari melibatkan lima persembahan.
pic-2
“Kita mahu sejarah epik Perak bukan sahaja disaksikan rakyat Malaysia, malah tetamu dari negara serantau seperti Brunei, Indonesia dan Thailand,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran awal pementasan teater itu di reruai Citra Budaya Darul Ridzuan sempena Festival Budaya Malaysia di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Azmi berkata sebanyak 5,000 tiket dijangka ditawarkan kepada penonton bagi lima persembahan itu dengan jualan dijangka dibuka secara dalam talian bermula Julai ini, termasuk tawaran harga promosi tempahan awal.
pic-3
"Pihak penganjur sedang meneliti kadar harga tiket yang berpatutan supaya lebih ramai berpeluang menyaksikan pementasan. Kita bukan mengejar keuntungan atau pulangan modal semata-mata, sebaliknya mahu bangsawan ini dapat ditonton oleh seramai mungkin pada harga munasabah,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Produksi Wan Hanis Marissa Yusoff Hamdan berkata pementasan kali ini tampil dengan pelbagai pembaharuan termasuk jalan cerita yang diperkemas, koreografi baharu serta gabungan teknologi pentas lebih canggih.
Beliau berkata antara kelainan utama ialah penggunaan teknologi pemetaan unjuran dan hologram secara menyeluruh di pentas Istana Budaya, berbanding penggunaan terhad pada pementasan terdahulu.
pic-4
Pelakon utama, Reza Hasbi yang sekali lagi membawakan watak Raja Muda Safi Shah berkata peluang menjayakan teater itu di Istana Budaya adalah satu penghormatan besar dalam kerjaya seninya.
"Saya sedang membuat persediaan rapi termasuk meningkatkan tahap kecergasan fizikal bagi memastikan persembahan terbaik,” katanya.
-- BERNAMA