POLITIK

PRN Johor: Guna Balakrishnan Mahu Akhiri Isu Prasarana Berlarutan Di Layang-layang

29/06/2026 04:30 PM

KLUANG, 29 Jun (Bernama) -- Agenda memperkukuh landskap sosioekonomi dan menyelesaikan isu prasarana yang berlarutan sejak sekian lama menjadi fokus utama calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang, Guna Balakrishnan dalam usaha meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata pendekatan pembangunan yang lebih menyeluruh perlu dilaksanakan bagi memastikan penduduk di kawasan itu, khususnya golongan petani, pekebun kecil dan peniaga domestik tidak terus berdepan dengan isu asas yang mengekang kesejahteraan dan peluang ekonomi mereka.

Guna berkata hasil pertemuan dengan penduduk setakat ini mendapati antara isu yang sering dibangkitkan ialah masalah banjir kilat dan kemudahan lampu jalan yang masih belum diselesaikan sejak sedekad lepas.

“Kawasan ini dikelilingi petempatan Felda, ladang dan kampung. Malangnya, dalam tempoh 10 tahun ini, langsung tiada peningkatan industri moden seperti kilang pemprosesan atau syarikat semikonduktor bagi membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sekitar Pekan Layang-Layang, di sini hari ini.

Beliau berkata jika diberi mandat, antara perkara yang akan menjadi keutamaan beliau ialah merancakkan semula aktiviti ekonomi tempatan agar penduduk, terutamanya belia tidak lagi perlu berhijrah ke kawasan lain untuk mencari pekerjaan.

DUN Layang-Layang yang mempunyai 25,181 pemilih berdaftar menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Guna, calon Barisan Nasional (BN) Chua Jian Boon dan penyandang kerusi berkenaan Abd Mutalip Abd Rahim mewakili Perikatan Nasional (PN).

Mengulas persaingan itu, Guna berkata beliau tidak mahu terlalu memberikan tumpuan kepada polemik politik atau strategi pihak lawan, sebaliknya memilih untuk menumpukan usaha mendekati pengundi secara langsung.

Beliau berkata pendekatan kempen yang digerakkan kini tertumpu pada interaksi bersemuka dengan sasaran mengunjungi setiap kawasan di seluruh DUN berkenaan bagi mendengar sendiri pandangan serta keperluan masyarakat setempat.

Memasuki hari ketiga kempen, Guna berkata sokongan moral yang diterima amat positif, namun usaha perlu diperkukuh termasuk melalui platform digital dan media sosial bagi memperluas capaian mesej kempen serta aspirasi Malaysia MADANI kepada pengundi.

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.

-- BERNAMA

 

N27: LAYANG-LAYANG - 25,181 pengundi

1. Guna Balakrishnan    (PH-PKR)

2. Abd Mutalip Abd Rahim    (PN-Bersatu)

3. Chua Jian Boon    (BN-MCA)

(2022: Abd Mutalip Abd Rahim: BN-UMNO: Maj: 2,815)

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574481