Oleh Hasnah Jusid
JOHOR BAHRU, 30 Jun (Bernama) -- Pernah mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah sebelum tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lepas, Mohd Khuzzan Abu Bakar kini kembali menawarkan khidmat kepada rakyat dengan tekad menyambung agenda pembangunan yang disifatkannya masih belum selesai.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu menyifatkan kemunculan semula pada PRN Johor ke-16 bukan sekadar untuk menebus kekalahan, tetapi merealisasikan aspirasi rakyat yang terhenti selepas kerajaan PH tidak lagi menjadi kerajaan negeri pada 2020.
Fokus utama bekas Exco Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor itu adalah memulihkan infrastruktur kritikal termasuk Kompleks Mini Belia Taman Sri Sulong, selain menoktahkan masalah bekalan air di Semerah dan isu banjir kilat di Batu Pahat serta Tanjung Laboh.
“Kita tidak dapat melaksanakan beberapa perkara ketika menjadi kerajaan dari 2018 hingga 2020 berikutan pertukaran kerajaan. Jika diberi mandat semula, saya mahu meneruskan perkara yang tertangguh demi rakyat Semerah,” katanya dalam temu bual bersama Bernama.
Mohd Khuzzan berkata usaha mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda turut menjadi antara fokus utama, selari dengan perubahan landskap ekonomi Johor yang semakin dipacu oleh pelaburan dan teknologi.
Mohd Khuzzan, 58, yang dilahirkan di Jalan Mesjid, Batu Pahat berkata hubungan rapat dengan penduduk menjadi antara faktor beliau kekal memilih bertanding di kerusi itu walaupun pernah tewas sebelum ini.
“Saya lahir di Batu Pahat dan isteri saya juga berasal dari Semerah. Sebab itu saya rasa bertanggungjawab untuk memberi kembali kepada masyarakat di sini,” katanya.
Beliau menyedari landskap politik kini lebih mencabar, namun optimis dengan transformasi kempen yang lebih dinamik menerusi penguasaan platform digital seperti TikTok, Instagram dan Threads untuk berkongsi program kemasyarakatan serta menjelaskan tawaran PH kepada pengundi.
“Saya sendiri terkejut apabila ramai warga emas mengikuti TikTok saya. Ini menunjukkan media sosial bukan lagi hanya untuk golongan muda,” katanya.
Beliau berkata kempen di lapangan turut diperkukuh menerusi program bersama belia termasuk e-sukan, sepak takraw dan karom, selain pendedahan kepada penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital sebagai persediaan memasuki ekonomi baharu.
Bekas pegawai perbankan itu turut menawarkan pendekatan memperkasakan ekonomi komuniti melalui perusahaan kecil dan sederhana (PKS), khususnya dalam membantu usahawan mengurus pembiayaan kerajaan secara lebih sistematik.
Bagi memastikan kejayaan usahawan, beliau mencadangkan dana TEKUN Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) disertakan dengan bimbingan pengurusan kewangan yang lebih sistematik dan mampan supaya usahawan mampu mengembangkan perniagaan secara mampan.
Mohd Khuzzan turut optimis landskap politik kali ini berbeza berbanding PRN Johor 2022 yang berlangsung ketika negara masih dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19, selain menjangkakan kadar keluar mengundi lebih tinggi termasuk dalam kalangan rakyat Johor yang bekerja di Singapura.
Beliau berkata sambutan diterima sepanjang tempoh berkempen, termasuk daripada golongan B40 dan penerima e-Kasih, memberi keyakinan bahawa PH berpeluang merampas semula kerusi itu.
Mengikut statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Semerah mempunyai 47,431 pemilih berdaftar dengan 17,751 orang atau kira-kira 37.4 peratus pengundi berusia 18 hingga 39 tahun.
PRN Johor menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding merebut 56 kerusi DUN dengan hari pengundian ditetapkan 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N17: SEMERAH: JOHOR: 47,431
1. Mohd Fared Mohd Khalid (BN-UMNO)
2. Halim Kepol (PN-PAS)
3. Mohd Khuzzan Abu Bakar (PH-PKR)
(2022: Mohd Fared Mohd Khalid: BN-UMNO: Maj: 4,041)