KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2026, sekali gus memperluaskan bidang kuasa akta berkenaan bagi kesalahan yang dilakukan di luar negara.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara menyokong selepas dibahaskan oleh 25 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pindaan bagi memperluaskan pemakaian luar wilayah akan memastikan pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak terlepas daripada tindakan undang-undang hanya kerana kesalahan dilakukan di luar negara.
Ketika menggulung perbahasan RUU itu, beliau berkata pindaan berkenaan tidak bermaksud Malaysia akan secara automatik mengambil alih semua kes berlaku di luar negara, dan negara tempat kesalahan berlaku kekal mempunyai bidang kuasa utama untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan mengikut undang-undang masing-masing.
“Sekiranya laporan dibuat di kedua-dua negara, pihak berkuasa akan berunding dan bekerjasama melalui saluran kerjasama antarabangsa bagi menentukan tindakan yang paling sesuai berdasarkan fakta kes, keterangan, lokasi saksi dan kepentingan keadilan,” katanya.
“Jika seorang warganegara Malaysia ditahan di luar negara, termasuk di lapangan terbang negara berkenaan, tindakan awal tertakluk kepada undang-undang negara tersebut. Matlamat pindaan untuk mengelakkan pertindihan prosiding dan memastikan pelaku tidak terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya.
Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata jika individu berkenaan kemudian dibawa pulang ke Malaysia, sebarang pendakwaan di negara ini bergantung kepada sama ada syarat pemakaian luar wilayah di bawah akta dipenuhi, kecukupan keterangan serta keputusan Pendakwa Raya.
Mengulas kebimbangan beberapa Ahli Parlimen mengenai pelaku yang pulang ke Malaysia selepas disiasat di luar negara, beliau berkata pihak berkuasa tidak akan berkompromi dalam memastikan keadilan ditegakkan.
“Semestinya ada siasatan lanjut yang akan dibuat di negara ini...pihak polis tahu apa yang terjadi dan jika perlu dia akan ditahan dan siasatan lanjutan akan dibuat. Tidak ada kompromi supaya keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Sementara itu, Kulasegaran berkata kerajaan tidak mentakrifkan secara khusus istilah ‘pemastautin tetap’ dalam pindaan berkenaan bagi mengekalkan fleksibiliti dalam menentukan status seseorang berdasarkan fakta dan keadaan setiap kes.
Beliau berkata penentuan itu lazimnya mengambil kira pelbagai faktor termasuk tempoh tinggal, pusat kehidupan keluarga, pendidikan, pekerjaan serta tahap integrasi seseorang dengan Malaysia.
“Jika satu takrif terlalu terperinci dimasukkan dalam akta ini, ia berpotensi mengehadkan budi bicara serta mewujudkan tafsiran yang terlalu sempit, sekali gus menjejaskan objektif utama akta untuk memberikan perlindungan menyeluruh kepada kanak-kanak.
“Oleh itu, kerajaan berpandangan pendekatan ini lebih sesuai bagi memastikan setiap kes dapat diputuskan secara adil berdasarkan merit dan keadaan masing-masing,” katanya.
Menyentuh isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang turut dibangkitkan dalam perbahasan, Kulasegaran berkata pindaan itu bukan bertujuan mengehadkan perlindungan kepada mana-mana kategori kanak-kanak.
Beliau berkata penggunaan frasa ‘mana-mana kanak-kanak’ jelas menunjukkan fokus pindaan adalah melindungi kanak-kanak sebagai mangsa serta memastikan pelaku yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak terlepas daripada tindakan undang-undang hanya disebabkan isu bidang kuasa atau sempadan negara.
“Ringkasnya, pindaan ini memperluaskan bidang kuasa Malaysia supaya pelaku jenayah seksual yang mempunyai kaitan dengan Malaysia tidak dapat menjadikan sempadan negara sebagai tempat berlindung daripada keadilan. Itulah matlamat dan semangat fasal dua RUU ini,” katanya.
-- BERNAMA