AM

RUU SIP Dibentang Semula Di Dewan Rakyat, Timbang Denda Progresif Lebih Rendah

30/06/2026 07:49 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Dewan Rakyat hari ini meluluskan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025, berhubung kadar denda progresif berkaitan kegagalan majikan mematuhi keperluan pelaporan kekosongan jawatan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Pindaan itu diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas 13 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.

Pindaan RUU itu dibawa ke Dewan Rakyat hari ini untuk pertimbangan selepas diluluskan Dewan Negara pada 12 Mac, dengan pindaan terhadap Fasal 11 melibatkan Subseksyen 45F(4) iaitu mengenakan denda tidak melebihi RM1,000 bagi kesalahan pertama, RM3,000 bagi kesalahan kedua dan tidak melebihi RM5,000 bagi kesalahan ketiga atau berikutnya.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan ketika menggulung perbahasan berkata pindaan itu, bertujuan memberi penekanan kepada pendidikan dan pematuhan, di samping memastikan ekosistem peluang pekerjaan dapat disusun dengan lebih teratur.

Beliau berkata sesi bimbingan dan penerangan akan terus dilaksanakan bagi membantu majikan memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Majikan akan diberikan notis pematuhan untuk tindakan pembetulan sebelum sebarang kompaun ditawarkan,” katanya.

Beliau berkata pindaan turut mengambil kira maklum balas majikan hasil sesi libat urus dan advokasi yang dilaksanakan PERKESO bersama pelbagai sektor di seluruh negara.

Khairul Firdaus berkata susulan maklum balas itu, kadar denda maksimum dikurangkan kepada RM5,000 daripada cadangan asal RM10,000, manakala penalti bagi kesalahan pertama disemak semula kepada RM1,000.

Terdahulu, Ahli Parlimen yang menyertai sesi perbahasan mencadangkan kerajaan menyediakan sistem pelaporan yang mesra pengguna, mudah dan tidak membebankan majikan, selain menyifatkan pindaan yang dibuat Dewan Negara itu mengekalkan keseimbangan prinsip penguatkuasaan yang adil dengan realiti operasi peniagaan.

Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) berkata mekanisme pelaporan perlu ringkas dan efisien kerana data yang dikumpulkan penting untuk membantu padanan pekerjaan, mengurangkan pengangguran serta menyokong penggubalan dasar pasaran buruh yang lebih berkesan.

Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) pula menyambut baik penurunan denda maksimum daripada RM10,000 kepada kadar progresif bermula RM1,000 untuk kesalahan pertama, namun menyuarakan kebimbangan mengenai tahap kesedaran peniaga di luar bandar yang mungkin kurang terdedah kepada keperluan akta berkenaan.

Sementara itu, Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) menegaskan ketelusan pengiklanan jawatan melalui portal kerajaan penting, bagi memastikan peluang pekerjaan dapat diakses secara adil.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2574937